Danny X-Factor kurangkan komitmen lakonan demi kesihatan

Facebook
WhatsApp
PENYANYI, Danny X-Factor turut menyerikan Majlis Ulang Tahun ke-20 Islamic Fashion Festival 2026 yang bertemakan "Peranakan The Golden Era di Peranakan Place Jalan Petaling baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 November: Hampir sembilan bulan selepas menjalani pembedahan bagi merawat masalah sciatica, penyanyi dan pelakon Danny X-Factor masih perlu mengehadkan aktiviti fizikal termasuk mengelakkan aksi lasak, sekali gus mempengaruhi pemilihan tawaran lakonannya.

Biarpun keadaan kesihatannya semakin baik, Danny atau nama sebenarnya Mohd Kardanie Anwa, 46, berkata beliau masih belum dapat kembali menjalani rutin harian seperti biasa dan perlu lebih berhati-hati bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata beliau masih menjalani rawatan fisioterapi serta senaman khusus bagi mengurangkan kesakitan pada bahagian belakang badan dan masalah kebas pada kaki.

“Keadaan kesihatan sekarang tidaklah membimbangkan, cuma kena berhati-hati. Pergerakan memang tak boleh macam dahulu, cara nak bangun pun kena jaga. Menari masih boleh, tetapi jangan sesekali tersalah angkat barang berat atau memandu terlalu lama,” katanya.

Ketika ditemui selepas sidang media Islamic Fashion Festival (IFF) Kuala Lumpur 2026 di sini baru-baru ini, Danny mengakui tidak banyak mengambil tawaran lakonan tahun ini kerana mahu memberikan tumpuan kepada X-Factor selain perlu mengambil kira tahap kesihatannya.

Bagaimanapun, bapa kepada seorang anak itu berkata masih lagi terbuka untuk menerima tawaran lakonan berskala kecil yang tidak memerlukan komitmen penggambaran panjang, namun belum bersedia untuk menjayakan babak aksi lasak seperti berlari dan melompat.

“Kalau panggil saya untuk cameo sehari dua, saya boleh selitkan. Tetapi kalau melibatkan episod yang panjang, memang saya tak boleh buat masa ini,” katanya.

Berhubung X-Factor, Danny berkata mereka kini lebih menumpukan pada aktiviti persembahan di hujung minggu memandangkan kebanyakan ahli kumpulan itu mempunyai kerjaya tetap dan komitmen masing-masing.

Keadaan itu katanya memerlukan setiap undangan persembahan atau temu bual dirancang lebih awal bagi membolehkan semua ahli menyusun jadual pekerjaan masing-masing.

“Kalau ada undangan pada hari bekerja, ahli lain perlu mengambil cuti. Kalau dimaklumkan dua minggu lebih awal, mungkin boleh diatur,” katanya tentang kumpulan yang turut dianggotai Fendi, Zack, Jim dan Shah serta pernah popular menerusi lagu Sehangat Api, 7251364 dan Tak Sanggup.

Danny berkata mereka juga sedang mempersiapkan single kedua yang dijangka dilancarkan sebelum akhir tahun ini selain merancang mengadakan persembahan khas berbentuk makan malam bersama-sama  peminat di Aneka Walk, Shah Alam pada 12 Dis depan.

Dalam pada itu, penyanyi ini yang hampir 10 tahun bekerja sebagai pemandu e-panggilan menyatakan beliau tidak pernah berasa malu dengan pekerjaan tersebut selain menegaskan kerjaya berkenaan tidak menjatuhkan martabatnya sebagai artis. 

Menurut beliau, pekerjaan itu juga membolehkannya mengurus masa tanpa tekanan.

“Kalau buat produksi, kita kena fikir pasal pekerja dan macam-macam perkara. E-panggilan ini mudah, janji penumpang selamat sampai, saya dapat bayaran dan boleh terus pulang luangkan masa dengan anak pula,” katanya yang mampu meraih antara RM300 hingga RM600 sehari, bergantung pada jumlah perjalanan.

Bagi meningkatkan mutu perkhidmatannya, Danny berkata beliau turut membeli sebuah kenderaan pelbagai guna baharu kira-kira tiga bulan lepas, khusus untuk perkhidmatan e-panggilan. – Bernama

MCMC uji capaian internet di 16 stesen ECRL

KUALA TERENGGANU, 6 November: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengenal pasti kawasan yang memerlukan penambahbaikan liputan Internet di sepanjang