SIBU, 6 November: Tidak menggunakan tali pinggang keselamatan semasa memandu, tidak memiliki lesen, lesen memandu tamat tempoh dan pelbagai kesalahan teknikal kenderaan dikesan menerusi Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Motosikal.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak menerusi kenyataan memberitahu, JPJ Sarawak melalui JPJ Cawangan Sibu telah menjalankan operasi tersebut secara rondaan dan pemantauan di sekitar bandar Sibu.
Sebanyak 210 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa. Sebuah motokar telah disita kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang sah.
Semua tindakan penguatkuasaan serta penyitaan telah dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
JPJ Sarawak mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan lesen memandu, LKM dan perlindungan insurans masih sah.
Pemandu juga hendaklah mematuhi peraturan keselamatan, termasuk menggunakan tali pinggang keledar serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.
JPJ Sarawak akan terus mempergiatkan operasi rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi meningkatkan pematuhan undang-undang serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.
Oleh Akun Giman




