Wong terus pantau projek RTP walaupun DUN dibubarkan

Facebook
WhatsApp
TERUSKAN KHIDMAT KEPADA RAKYAT.....Wong turun padang melawat dan memantau RTP yang sedang dilaksanakan di kawasan DUN Bawang Assan.

SIBU, 6 November: Meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dibubarkan, penyandang kerusi DUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh tetap meneruskan khidmat bakti kepada penduduk di kawasan terbabit.

Wong turun padang melawat dan memantau Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang sedang dilaksanakan di kawasan DUN Bawang Assan, bagi memastikan semua projek yang belum siap dapat disiapkan dengan jayanya.

Beliau diiringi oleh barisan kapitan tempatan serta pemimpin masyarakat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Paradom, Ting Fung Hua melawat kawasan Telok Bango, untuk meninjau beberapa projek penambahbaikan infrastruktur yang sedang dijalankan.

Antara projek yang dilawati ialah projek menaik taraf dan menurap jalan di kawasan di bawah seliaan Kapitan Hii Chin Ru dan Kapitan Ling Nai Wu.

Projek menaik taraf dan menurap jalan di Chieng Nam Chong, Paradom, projek pembersihan parit di Lorong 2 dan Lorong 3, Chieng Nam Chong, Paradom dan projek pembersihan parit di kawasan Telok Bango.

Wong berkata, semua projek tersebut berkait rapat dengan kehidupan harian penduduk setempat, terutamanya bagi penduduk di kawasan luar bandar yang dapat menikmati secara langsung manfaat daripada penambahbaikan jalan dan sistem saliran.

“Bagi saya, perkhidmatan awam adalah satu tanggungjawab, dan ia tidak akan terhenti hanya kerana perubahan jawatan politik,” tegasnya.

Katanya, pembubaran DUN tidak bermakna projek pembangunan masyarakat yang telah dimulakan harus dihentikan. 

“Semua projek yang telah dijanjikan dan sedang berjalan harus terus dipantau, bagi memastikan ia dapat disiapkan, supaya rakyat benar-benar mendapat manfaat.

“Projek pembangunan mesti dilaksanakan dari mula hingga akhir, dan janji kepada rakyat mesti ditunaikan dengan penuh tanggungjawab,” tegasnya.

Oleh Akun Giman