Polis giat rondaan cegah kecurian kabel dan transformer di Bau

Facebook
WhatsApp
KETUA polis Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman.

KUCHING, 6 November: Polis Bau mempergiatkan rondaan dan pemantauan menerusi Ops Lusuh bagi mencegah kegiatan kecurian kabel telekomunikasi dan transformer milik Sarawak Energy Berhad (SEB) di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), IPD Bau itu melibatkan rondaan serta pemantauan secara berkala di sekitar daerah berkenaan.

Katanya, operasi itu memberi tumpuan kepada usaha membanteras kecurian kabel dan transformer yang boleh menjejaskan kemudahan komunikasi, bekalan elektrik serta keselamatan orang ramai.

POLIS memeriksa menara telekomunikasi

Dalam temu bual bersama Utusan Sarawak, Mohd Haide berkata sebanyak 18 kes kecurian seumpama itu direkodkan sepanjang 2025, manakala 24 kes dicatatkan sehingga 3 Oktober tahun ini.

Beliau menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan kepada polis sekiranya mengesan individu atau kenderaan yang mencurigakan berhampiran pencawang elektrik dan kemudahan telekomunikasi.

Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang aktiviti memotong, mengorek atau mengambil kabel tanpa kebenaran serta mencatat nombor pendaftaran kenderaan yang mencurigakan sekiranya keadaan mengizinkan.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak sendiri atau berkonfrontasi dengan individu yang disyaki terbabit.

Mohd Haide turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhi kabel elektrik yang terdedah atau peralatan utiliti yang telah dirosakkan kerana boleh mendatangkan bahaya.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah itu boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau melalui talian kecemasan 999.

Beliau berkata kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu polis mencegah jenayah serta melindungi kemudahan awam demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

Oleh Connie Chieng