Kemenangan ke atas Gangwon bukti The Cats mampu bersaing di pentas Asia

Facebook
WhatsApp
AIDIL Sharin Sahak ketika sidang media selepas perlawanan di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

KUCHING, 5 November: Kemenangan 2-0 Kuching City FC ke atas kelab Korea Selatan, Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2), malam ini membuktikan The Cats memiliki kemampuan untuk bersaing di pentas Asia meskipun masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tahap persaingan lebih tinggi.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, kejayaan itu bukan sekadar memberikan tiga mata penting, malah membuktikan pemainnya mampu menterjemahkan perancangan pasukan menerusi persembahan berkualiti ketika berdepan lawan yang mempunyai intensiti permainan tinggi.

Menurutnya, kemenangan tersebut cukup bermakna selepas Kuching City melalui tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini, sekali gus menjadi suntikan keyakinan buat pemain, pasukan dan kelab untuk terus memperbaiki prestasi.

“Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini dan pemain benar-benar mahukan kemenangan. Malam ini, kami membuktikan bahawa kami sebuah pasukan yang lebih baik dengan keputusan serta persembahan yang cukup positif.

“Saya amat menghargai semangat juang pemain dan cara mereka mempamerkan permainan bola sepak yang baik di atas padang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

Kemenangan itu turut menyaksikan Safawi Rasid mencuri tumpuan apabila meledak dua gol pada minit ke-13 dan ke-20 untuk memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.

Mengulas persembahan Safawi, Aidil berkata sumbangan pemain kebangsaan itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan jaringan semata-mata kerana beliau sudah menunjukkan komitmen dan kerja keras sejak hari pertama bersama pasukan.

Katanya, keyakinan Safawi semakin meningkat dan dua jaringan tersebut membuktikan kemampuan sebenar pemain berkenaan apabila diberikan peluang.

Sementara itu, Safawi berkata beliau berterima kasih kepada rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

Beliau menyifatkan jaringan tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus membantu pasukan dalam perlawanan akan datang.

Safawi turut melahirkan kegembiraan selepas kembali mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan dan bertekad memberikan yang terbaik sekiranya diberikan peluang beraksi.

Dalam pada itu, Aidil berkata kemenangan berkenaan juga membuktikan kepentingan menyesuaikan pendekatan taktikal mengikut kekuatan lawan, terutama selepas pasukannya gagal memperoleh keputusan positif dalam tiga perlawanan terdahulu.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pemain supaya tidak terlalu lama meraikan kemenangan tersebut kerana tumpuan kini perlu beralih kepada aksi Piala FA menentang Selangor FC, Ahad ini.

Katanya, aspek pemulihan pemain perlu diberikan perhatian memandangkan Kuching City ketika ini kehilangan tujuh pemain akibat kecederaan, selain enam pemain bakal menyertai tugasan bersama skuad kebangsaan.

Aidil turut berharap kecederaan buku lali yang dialami pemain pertahanan, Declan Lambert dalam perlawanan itu tidak serius dan dapat dikenal pasti selepas pemeriksaan lanjut.

Oleh Shahrul Qaizat