Ular bersembunyi di bawah peti sejuk, bomba Sri Aman bertindak pantas

Facebook
WhatsApp
SEEKOR ular bersembunyi di bawah peti sejuk sebuah rumah di Jalan Bayu, Bandar Simanggang. Foto: BBP Sri Aman

SIMANGGANG, 5 November: Kehadiran seekor ular yang bersembunyi di bawah peti sejuk sebuah rumah di Jalan Bayu mencetuskan kebimbangan penghuni sebelum berjaya ditangkap oleh anggota bomba dalam satu operasi khidmat khas, semalam.

Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.48 tengah malam.

Susulan laporan tersebut, seramai tiga anggota bersama sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian di Jalan Bayu bagi menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati seekor ular benar-benar berada di bawah peti sejuk di dalam rumah pelapor.

Komander operasi, PBK I Noor Faqriakmal berkata, anggota terlebih dahulu menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan tindakan menangkap ular dengan menggunakan peralatan khas.

Dengan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap, anggota bomba kemudian menggunakan seunit penjerut ular bagi menangkap reptilia berkenaan.

Operasi berjaya dilaksanakan dengan lancar apabila ular tersebut berjaya ditangkap sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Tindakan pantas anggota BBP Sri Aman itu memastikan keadaan kembali terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuba menangkap ular sendiri sekiranya menemui reptilia berkenaan di dalam atau sekitar kediaman, sebaliknya segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Oleh Adi Safarman