SIBU, 5 November: Hubungan bandar persahabatan antara Sibu dan Daerah Minqing di Wilayah Fujian, China bakal membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, kebudayaan dan pertukaran kepakaran yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, hubungan berkenaan bukan sahaja berasaskan persamaan sejarah dan warisan masyarakat Foochow, malah mencerminkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua wilayah.
Menurutnya, hubungan antara Sibu dan Minqing bukan sesuatu yang baharu kerana kedua-duanya mempunyai ikatan sejarah, kekeluargaan dan kebudayaan yang telah terjalin sejak sekian lama.
“Melalui hubungan bandar persahabatan ini, kita berharap kerjasama sedia ada dapat diperkukuh dan diperluaskan demi manfaat generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Penubuhan Hubungan Bandar Persahabatan antara Sibu, Sarawak, Malaysia dan Daerah Minqing, Wilayah Fujian, China di Pejabat Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Wisma Sanyan, di sini petang tadi.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, hubungan antara kedua-dua pihak mempunyai asas kukuh apabila memorandum persefahaman (MoU) pertama dimeterai pada 22 Februari 2011 oleh bekas Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King.
“Selepas lebih 15 tahun, usaha memperbaharui hubungan itu merupakan langkah penting bagi memastikan kerjasama antara Sibu dan Minqing terus relevan dengan perkembangan semasa,” katanya.
Beliau memberitahu, usaha berkenaan mendapat perhatian susulan lawatan Timbalan Setiausaha Wilayah Fujian, Guo Ningning ke Sibu pada 28 November 2025.
“Perkembangan itu disusuli dengan pemeteraian surat hasrat ketika lawatan delegasi MPS ke Daerah Minqing pada 14 Disember 2025.
“Majlis hari ini merupakan kesinambungan kepada hubungan yang telah dibina sejak sekian lama, sekali gus memperlihatkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk meneroka peluang kerjasama yang lebih luas,” ujarnya lagi.
Dr Sim berkata, Sibu yang turut dikenali sebagai ‘Little Foochow’ mempunyai sejarah penghijrahan masyarakat Foochow yang memainkan peranan penting dalam pembangunan bandar berkenaan.
Katanya, ramai tokoh masyarakat dan pemimpin terkenal Sibu mempunyai pertalian keturunan dengan Minqing, termasuk Wong Nai Siong yang memainkan peranan penting dalam sejarah penghijrahan masyarakat Foochow ke Sarawak.
Antara tokoh lain ialah Lau Ka Tu, Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming, bekas Pengerusi MPS mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew dan Datuk Tiong Thai King dan mendiang Tan Sri Datuk Patinggi Dr Wong Soon Kai.
Katanya, sumbangan masyarakat berketurunan Minqing turut dapat dilihat menerusi penglibatan mereka dalam pelbagai sektor perniagaan dan perdagangan di Sibu serta seluruh Sarawak.
Beliau berharap hubungan bandar persahabatan berkenaan dapat menjadi platform untuk meningkatkan jaringan perniagaan, menggalakkan pertukaran budaya dan memperkukuh hubungan antara masyarakat kedua-dua wilayah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Penasihat kepada Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Joseph Chieng Jin Ek, Pengerusi MPS Clarence Ting Ing Horh, Timbalan Pengerusi MPS Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming dan Timbalan Ketua Daerah Minqing Liu Fengsong.
Oleh Akun Giman





