18 kelab Lions sasarkan kutipan RM400,000 untuk Rumah Jagaan Lions

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 5 November: Sebanyak 18 kelab Lions dari Wilayah 1, Daerah 308-A2 akan bergabung tenaga menganjurkan Pesta Makanan Rumah Jagaan Lions 2026 dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM400,000 bagi menyokong kebajikan penghuni warga emas di Stutong.

Program amal itu dijadual berlangsung esok hari, dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, bertempat di Rumah Jagaan Lions, Stutong.

Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menampung kos operasi harian, penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan dan peralatan rumah jagaan berkenaan, selain meningkatkan keselesaan serta kebajikan penghuni.

Pengerusi Rumah Jagaan Lions, Bekas Pengarah Antarabangsa, Datin Ellis Suriyati Omar merakamkan penghargaan kepada semua ahli Lions, penaja, penderma, sukarelawan dan orang ramai atas sokongan berterusan terhadap usaha menjaga kebajikan warga emas.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Pesta Makanan, Lion Alexander Koh berkata, setiap sumbangan yang diberikan mampu membantu menjayakan sasaran kutipan dana berkenaan.

“Setiap sumbangan amat bermakna. Sama ada melalui pembelian kupon pesta makanan, penajaan gerai, sumbangan barangan dan bekalan, bantuan kewangan atau meluangkan masa sebagai sukarelawan, setiap usaha membawa kita selangkah lebih dekat kepada sasaran kutipan RM400,000,” katanya.

Lion Alexander yang juga Pengerusi Wilayah 1 berkata, penjagaan warga emas merupakan tanggungjawab bersama masyarakat kerana golongan itu berhak menikmati kehidupan yang bermaruah, dihormati, disayangi serta berada dalam persekitaran yang selesa.

“Melalui inisiatif kutipan dana ini, kami berharap dapat menyatukan masyarakat dan membawa perubahan yang bermakna serta berkekalan dalam kehidupan mereka,” katanya.

Orang ramai, syarikat korporat, peniaga, persatuan dan pertubuhan masyarakat turut dialu-alukan untuk menyokong program berkenaan melalui sumbangan wang tunai, barangan keperluan, penajaan gerai makanan serta khidmat sukarelawan.

Pesta makanan itu menghimpunkan 18 kelab Lions dari kawasan Kuching, Serian dan Kota Samarahan sebagai usaha bersama memperkukuh semangat perpaduan, keprihatinan dan khidmat kepada masyarakat, khususnya golongan warga emas.

Sebarang pertanyaan, sumbangan atau penyertaan gerai makanan boleh menghubungi Rumah Jagaan Lions menerusi talian 082-461493.