SERIAN, 4 November: Hanya menerima RM2,100 daripada pinjaman yang dipersetujui sebanyak RM3,000, seorang individu di Serian kini berdepan gangguan dan ugutan dipercayai daripada sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau Ah Long.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, pihaknya menerima satu laporan polis semalam berhubung kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa pada mulanya menerima tawaran pinjaman wang menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang menggunakan nama “Quick Loans”.
“Mangsa kemudian bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM3,000, namun hanya RM2,100 dimasukkan ke dalam akaunnya.
“Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila mangsa didakwa diminta membayar jumlah yang semakin meningkat berbanding pinjaman asal,” katanya dalam satu kenyataan.
Freddy berkata, lebih membimbangkan, mangsa turut menerima mesej berunsur ugutan, penghinaan dan gangguan menerusi WhatsApp, termasuk ancaman untuk mengganggu ahli keluarganya serta mengancam keselamatan anak mangsa sekiranya tuntutan bayaran tidak dipenuhi.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
“Hasil semakan awal mendapati nombor telefon yang digunakan mempunyai rekod terdahulu dalam Sistem Perisikan Jenayah Berpusat (CCIS).
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta mengesan kemungkinan aktiviti jenayah berkaitan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Freddy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang menerusi media sosial atau WhatsApp, khususnya daripada pihak yang tidak mempunyai lesen sah.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat peribadi, salinan kad pengenalan, gambar atau maklumat akaun media sosial kepada individu yang tidak dikenali.
“Sekiranya menerima ugutan atau gangguan daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran tambahan akibat tekanan atau ugutan, sebaliknya menyimpan semua bukti komunikasi dan transaksi sebelum segera membuat laporan polis,” katanya.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sekiranya melibatkan penipuan kewangan dalam talian atau transaksi kewangan yang mencurigakan.
Polis mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah tawaran pinjaman mudah melalui aplikasi pesanan kerana tawaran yang kelihatan menguntungkan boleh bertukar menjadi mimpi ngeri apabila terjerat dengan kegiatan Ah Long.
Oleh Adi Safarman




