BINTULU, 4 November: Pendaratan sebuah helikopter di kawasan tanah lapang berhampiran Perumahan Sri Pertiwi, berdekatan Econsave Kidurong, petang tadi disahkan tidak mempunyai kaitan dengan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Pengesahan itu dibuat menerusi laporan verifikasi maklumat tular oleh Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu pada 6.00 petang, susulan penyebaran video kejadian berkenaan di media sosial.
Kejadian kira-kira 4.00 petang itu mencetuskan spekulasi orang ramai yang mendakwa helikopter berkenaan terlibat dalam operasi FDS.
Bagaimanapun, hasil semakan mendapati helikopter itu dikendalikan oleh syarikat pemiliknya sendiri dan pendaratan berkenaan merupakan sebahagian daripada latihan juruterbang sebelum meneruskan perjalanan ke Miri.

Laporan itu turut menjelaskan bahawa latihan pendaratan (landing exercise) berkenaan tidak membabitkan sebarang operasi atau kakitangan kesihatan FDS.
Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, manakala latihan berkenaan berlangsung lancar dalam keadaan terkawal.
Selain itu, tiada pasukan kesihatan terlibat dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Oleh Faizah Muzidi





