Sayap Wanita parti PBB fokus kenali pengundi, pastikan sokongan diterjemah di peti undi

Facebook
WhatsApp

PETRA JAYA, 4 November: Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti pengundi, mendekati masyarakat dan memastikan sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) diterjemahkan kepada undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Ketua Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, antara tanggungjawab utama jentera wanita parti itu ialah mengenali pengundi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk mengenal pasti status, lokasi dan latar belakang mereka.

Beliau berkata, peningkatan jumlah pengundi di setiap kawasan DUN menjadikan usaha mengenal pasti dan mendekati pengundi sebagai antara cabaran yang perlu diberikan perhatian.

“Jadi bagi kita, tanggungjawab yang besar yang diamanahkan kepada kita ialah untuk mengenali pengundi. Kita mesti kenal siapa mereka, sama ada mereka berada dalam kawasan atau di luar kawasan, sudah meninggal dunia dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, Sayap Wanita turut memberi perhatian kepada kajian sikap dan tahap sokongan pengundi bagi membolehkan pendekatan bersesuaian dilaksanakan sepanjang tempoh persediaan pilihan raya.

Katanya, usaha memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian juga menjadi keutamaan bagi memastikan sokongan yang dinyatakan dapat diterjemahkan melalui peti undi.

Beliau berkata, jentera wanita turut akan membantu memastikan pengundi memahami proses pengundian bagi mengelakkan undi rosak.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, kesemua 82 cawangan PBB di seluruh Sarawak akan digerakkan sebagai sebahagian daripada jentera parti di peringkat DUN.

Beliau berkata, PBB kini mempunyai lebih 182,000 ahli yang akan menjadi sebahagian daripada kekuatan organisasi parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengulas persediaan mengaktifkan bilik gerakan, beliau berkata, kemudahan itu perlu mula beroperasi sebaik sahaja arahan dikeluarkan.

Katanya, peranan Sayap Wanita bukan sahaja tertumpu kepada tempoh sebelum pilihan raya, malah merangkumi sepanjang proses pilihan raya sehingga selepas pengundian.

Mengenai pemilihan calon wanita, beliau berkata Sayap Wanita PBB menyerahkan sepenuhnya keputusan berhubung perkara itu kepada Presiden parti.

Oleh Afiq Sallehi