KUCHING, 4 November: Sarawak mahu memperkukuh kerjasama antara syarikat milik kerajaan negeri (SOE), sektor swasta, pelabur, universiti dan institusi penyelidikan bagi memperluas peluang pelaburan, inovasi serta pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu penting bagi menggabungkan kepakaran dan sumber pelbagai pihak, terutama ketika negeri ini meneroka sektor baharu yang memerlukan teknologi serta pelaburan berskala besar.
“Dengan menggabungkan kekuatan, kepakaran dan sumber masing-masing, kita dapat mewujudkan peluang baharu untuk pelaburan, inovasi dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Menurutnya, antara sektor yang berpotensi memacu ekonomi Sarawak ialah tenaga boleh baharu, peralihan tenaga, ekonomi hidrogen, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), pembuatan termaju dan semikonduktor.
“Sektor-sektor ini memerlukan kepakaran, teknologi dan pelaburan dalam pelbagai bidang. Kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan amat penting untuk merealisasikan potensi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berperanan menetapkan hala tuju strategik dan menyediakan persekitaran yang kondusif, manakala sektor industri memacu pelaburan serta inovasi bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat.
Abang Johari turut menegaskan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan perlu mendapat peluang untuk menyertai perkembangan ekonomi baharu melalui hubungan lebih kukuh dengan SOE dan syarikat besar.
“Hubungan yang lebih erat antara SOE, syarikat besar dan perniagaan tempatan dapat membantu PKS memperoleh akses kepada pasaran, teknologi, kepakaran dan rantaian bekalan bernilai tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengetengahkan pembangunan cip semikonduktor kuasa galium nitrida (GaN), dikenali sebagai keteq.GaN, yang direka bentuk secara tempatan oleh Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor sebagai contoh keupayaan teknologi anak tempatan.
“Potensi penggunaannya dalam bidang seperti infrastruktur kecerdasan buatan, sistem tenaga boleh baharu dan grid pintar menunjukkan bagaimana Sarawak boleh membangunkan keupayaan teknologinya sendiri serta bergerak ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan teknologi tempatan perlu disusuli usaha memastikan inovasi yang dihasilkan dapat diuji, dikomersialkan dan dipasarkan secara lebih meluas.
“Cabaran kita bukan sekadar menghasilkan idea dan membangunkan teknologi. Kita perlu memperkukuh laluan supaya inovasi yang berpotensi dapat diuji, dikomersialkan dan dibawa ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) dan Anugerah Khas Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Cip keteq.GaN dibangunkan menggunakan bahan galium nitrida yang digunakan dalam teknologi semikonduktor kuasa.
Menurut ucapan Premier, teknologi itu berpotensi menyokong pembangunan infrastruktur AI, sistem tenaga boleh baharu dan grid pintar, sekali gus membuka ruang kepada Sarawak membangunkan kepakaran sendiri dalam industri semikonduktor.
Oleh Shikin Mahmud





