Sistem pentadbiran Sarawak diiktiraf sebagai model untuk dicontohi dunia

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika melakukan simbolik perasmian pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) dan Anugerah Khas Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. Foto UKAS.

KUCHING, 4 November: Sistem pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan awam Sarawak mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila pendekatan pengurusan negeri ini disifatkan sebagai model yang boleh dicontohi oleh negara lain.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Grego Cost daripada agensi antirasuah antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Vienna, ketika mereka bertemu sehari sebelum sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) 2026.

Menurutnya, pandangan tersebut turut merangkumi mutu perkhidmatan awam Sarawak serta peranan pegawai yang menerajui organisasi dan agensi kerajaan.

“Beliau berkata sistem di Sarawak, termasuk perkhidmatan yang diberikan oleh perkhidmatan awam serta pegawai yang menerajui organisasi, merupakan model untuk dicontohi dunia,” katanya.

Abang Johari berkata, pengiktirafan berkenaan perlu dihargai dan menjadi dorongan kepada seluruh penjawat awam untuk terus meningkatkan standard pengurusan negeri.

“Saya mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana telah meningkatkan standard kita dalam menguruskan negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak telah melalui perjalanan pembangunan yang panjang dan cabaran menjelang 2030 semakin kompleks, sekali gus memerlukan kekuatan institusi serta keupayaan perkhidmatan awam untuk memastikan aspirasi pembangunan dapat direalisasikan.

Menurutnya, kejayaan agenda pembangunan negeri bukan hanya bergantung kepada sumber yang dilaburkan atau perancangan yang dirangka, tetapi turut ditentukan oleh keupayaan penjawat awam melaksanakan tanggungjawab dan menterjemahkan perancangan kepada hasil sebenar.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan rakyat dan perkhidmatan awam untuk terus menyumbang kepada masa depan Sarawak, selain menyeru penjawat awam memperbaiki cara kerja, memperkukuh rasa tanggungjawab serta mengekalkan standard perkhidmatan dan integriti yang tinggi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) dan Anugerah Khas Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Oleh Shikin Mahmud