SDMC pantau cuaca, selaras persediaan PRN dengan SPR

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemui pemberita berhubung persediaan menghadapi PRN ke-13 ketika musim Monsun Timur Laut.

PETRA JAYA, 4 November: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) akan menyelaraskan persediaan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 berlangsung ketika Monsun Timur Laut.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, SDMC sedang memantau perkembangan cuaca dan akan menyalurkan maklumat berkaitan kepada SPR bagi membantu suruhanjaya itu mengambil kira faktor cuaca dalam perancangan pilihan raya.

Beliau yang juga Pengerusi SDMC berkata, jawatankuasa meteorologi akan memberikan taklimat kepada SPR berhubung ramalan cuaca di Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman dan terpencil.

Katanya, maklumat itu penting memandangkan terdapat kawasan yang memerlukan penggunaan helikopter bagi urusan pilihan raya, sekali gus menjadikan faktor cuaca antara perkara yang perlu diberi perhatian.

“Kita akan mendapatkan laporan cuaca terkini dan menyampaikannya kepada SPR supaya keadaan di kawasan berkenaan dapat diambil kira,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, hari ini.

Uggah bagaimanapun menegaskan bahawa penetapan tarikh pilihan raya merupakan bidang kuasa SPR.

Beliau berkata, SDMC akan memastikan maklumat dan perkembangan cuaca terkini diselaraskan dengan SPR sebaik sahaja butiran pelaksanaan pilihan raya, termasuk tarikh penamaan calon dan pengundian, diketahui.

Oleh Afiq Sallehi