MPP satu-satunya PBT Sarawak raih Anugerah Bandar Paling Mampan 2026

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Tan Kai, menerima Anugerah Bandar Paling Mampan 2026 daripada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.

KUCHING, 4 November: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) muncul sebagai satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak yang menerima Anugerah Bandar Paling Mampan 2026, sekali gus mengiktiraf komitmennya dalam memacu pembangunan bandar mampan.

Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan MPP dalam memperkukuh pembangunan mampan menerusi kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan dan masyarakat setempat.

Pengerusi MPP, Tan Kai berkata, kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa sokongan dan kerjasama erat Kerajaan Sarawak, khususnya Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli majlis, kakitangan MPP serta penduduk di bawah kawasan pentadbiran majlis itu atas sumbangan mereka dalam menjayakan usaha berkenaan.

Menurutnya, anugerah itu diberikan berdasarkan pencapaian MPP menerusi Rangkaian Petunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets), iaitu kerangka penilaian Kerajaan Persekutuan untuk mengukur tahap kemampanan PBT di seluruh negara.

Tan menerima anugerah berkenaan daripada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, pada sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2026.

Beliau berkata, pengiktirafan itu turut memperkukuh komitmen MPP untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama kita untuk membangunkan Sarawak yang makmur, inklusif dan mampan dari segi alam sekitar, di samping merealisasikan visi MPP iaitu ‘Padawan Mampan, Inklusif dan Kondusif untuk Diduduki’,” katanya.

Oleh Connie Chieng