ROME, 4 November: Jerman, Romania dan United Kingdom menyertai senarai negara Eropah yang terjejas akibat serangan siber terhadap sistem penyejukan pasar raya sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Kerajaan Itali mengadakan perbincangan tergempar dengan ketua-ketua perisikan susulan insiden itu, yang mendorong Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran mengenai kemungkinan cubaan sengaja untuk mengganggu rantaian bekalan makanan di rantau berkenaan.
Motif serangan siber itu masih belum diketahui dan setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Jurucakap EU, Thomas Regnier, berkata agensi EU turut mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa negara anggota bagi merangka tindak balas bersama.
“Ini bukan insiden terpencil dan sudah tentu kita perlu mempunyai daya tahan serta bersedia secara bersama untuk menghadapi insiden siber seperti ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan membuat spekulasi mengenai pihak yang mungkin bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Itali dan Belanda antara kira-kira 10 negara anggota EU yang terjejas, hanya beberapa minggu selepas ratusan pasar raya di Perancis terpaksa membuang stok makanan yang rosak akibat insiden serupa.

United Kingdom, yang bukan anggota EU, turut terjejas.
Ketua Keselamatan Siber Kebangsaan Britain, Richard Horne, memberitahu BBC bahawa insiden itu menjejaskan “keseluruhan rantaian bekalan makanan”.
Beliau berkata kakitangan “bekerja sepanjang malam” untuk memberi amaran kepada pihak yang berisiko, selain memaklumkan terdapat beberapa kejadian yang membabitkan “eksploitasi teknologi yang terdedah kepada ancaman”.
Persatuan Pembekal Daging Bebas Britain (AIMS) turut memberitahu BBC bahawa peti sejuk beku milik dua ahlinya mula mengalami proses pencairan, manakala suhu unit penyejukan milik seorang lagi meningkat secara mendadak.
Pesuruhjaya Makanan dan Pertanian EU, Christophe Hansen, menyifatkan serangan itu sebagai “cubaan sengaja untuk mengganggu rantaian bekalan makanan kita”.
Kerajaan Itali berkata setakat ini kesannya “amat terhad” dan hanya melibatkan premis perniagaan yang menggunakan sistem keselamatan lapuk.
“Hanya sebilangan kecil unit komersial terjejas,” menurut kenyataan kerajaan itu.
Bagaimanapun, beberapa menteri mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua perisikan dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan, yang turut mengeluarkan panduan teknikal kepada pengusaha peruncitan bagi melindungi sistem mereka.
Kira-Kira 20 Premis Terjejas Di Itali
Laporan menyebut kira-kira 20 premis perniagaan di seluruh Itali terjejas akibat serangan itu.
Giuseppe Spadaro, pengarah sebuah kumpulan yang menguruskan pasar raya Coop di Sicily, berkata empat daripada 300 cawangan syarikat itu menjadi sasaran.
“Kami menganggarkan kerugian berjumlah beberapa ribu euro. Kami terpaksa membuang semua barangan. Rak-rak kini kosong,” katanya seperti dipetik akhbar Corriere della Sera.
Empat cawangan pasar raya di Jerman dan enam di Romania turut terjejas, menurut pegawai serta wakil syarikat.
“Tiada infrastruktur lain yang terjejas,” kata Pengarah Direktorat Keselamatan Siber Kebangsaan Romania (DNSC), Dan Cimpean, kepada AFP.
“Serangan ini kelihatan seperti dilakukan oleh pihak yang kurang berpengalaman. Kami sama sekali tidak mengesyaki penglibatan mana-mana pihak yang mewakili sesebuah negara.”
Jurucakap rangkaian pasar raya Coop di Sweden, Carlos Cancinos, berkata tujuh cawangan kumpulan itu yang terjejas telah kembali beroperasi seperti biasa.
Beliau berkata peralatan penyejukan dan peti sejuk beku yang terjejas antara malam Isnin dengan Selasa disambungkan kepada “rangkaian 4G lama”.
“Kami telah melancarkan program berskala besar untuk memodenkan sebahagian besar rangkaian cawangan kami dengan melengkapkan peti sejuk yang disambungkan kepada rangkaian dan memastikan peralatan itu beroperasi menggunakan rangkaian 5G. Langkah ini membantu menyelesaikan sebahagian besar masalah seumpama ini,” katanya.
Belgium antara negara yang paling teruk terjejas apabila puluhan kedai daripada beberapa rangkaian pasar raya melaporkan kegagalan sistem penyejukan.
Pendakwa raya persekutuan negara itu telah membuka siasatan berhubung insiden berkenaan. – AFP





