KUALA LUMPUR, 4 November: Garis panduan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan badal haji kini sedang dirangka dan akan dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dijadikan rujukan kepada masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi kajian Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bagi meneliti aspek kebolehlaksanaan perkhidmatan itu, sama ada ditawarkan oleh syarikat atau individu.
“Hasil kajian ini, satu garis panduan akan dibentangkan kepada MKI sebelum dijadikan rujukan kepada masyarakat.
“Dalam masa yang sama, JAWHAR dan Tabung Haji (TH) juga akan terus mempergiat penerangan, kesedaran dan hebahan melalui tazkirah di masjid dan surau, kempen di media sosial dan siri jelajah ke seluruh Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai mekanisme semakan awal bagi membendung isu penipuan perkhidmatan badal haji.
Marhamah berkata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kini menguatkuasakan dasar La Hajja Bila Tasrih, tiada haji tanpa permit dengan menetapkan peraturan yang ketat bagi pelaksanaan ibadah haji termasuk keperluan memiliki visa dan permit haji yang sah.
Beliau berkata ketetapan itu perlu diberikan perhatian serius kerana pelaksanaan badal haji tertakluk kepada syarat dan peraturan Kerajaan Arab Saudi, serta melibatkan kos yang tinggi.
Justeru, beliau berkata penawaran perkhidmatan badal haji pada harga yang terlalu rendah menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dan kebolehlaksanaan perkhidmatan tersebut, sekali gus meningkatkan risiko masyarakat menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat dinasihatkan supaya menyemak latar belakang penyedia perkhidmatan, kesahihan tawaran, dan maklumat penerima bayaran sebelum membuat sebarang transaksi.
“Sebarang aduan berhubung penawaran perkhidmatan yang mengelirukan atau berunsur penipuan boleh dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – Bernama




