SFC dedah kepentingan pemuliharaan burung terancam kepada murid SK Buntal

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Kesedaran Hidupan Liar anjuran Pejabat SFC Wilayah Kuching di SK Buntal. Foto SFC

KUCHING, 3 November: Seramai 110 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Buntal menyertai Program Kesedaran Hidupan Liar anjuran Pejabat Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Wilayah Kuching bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan spesies burung terancam di Sarawak.

Program yang berlangsung di SK Buntal, baru-baru ini, memberi pendedahan mengenai peranan Taman Negara Santubong dan kawasan Bako-Buntal Bay sebagai habitat penting kepada pelbagai spesies burung, termasuk burung kenyalang dan burung hijrah.

Menurut SFC, program itu bertujuan mendidik generasi muda mengenai kepentingan kawasan perlindungan dalam memastikan kelangsungan hidup hidupan liar, selain memperkenalkan keunikan burung kenyalang yang sering ditemui di kawasan Gunung Santubong.

Selain burung ikonik Sarawak itu, peserta turut diberi penerangan mengenai burung hijrah yang menjadikan pesisiran pantai Buntal sebagai lokasi persinggahan bermusim setiap tahun.

Guru Besar SK Buntal, Mahadir Mohammad Bohari mengingatkan murid-murid supaya memainkan peranan bersama dalam menjaga kebersihan pantai serta memelihara habitat burung di kawasan kampung mereka.

Beliau turut menggalakkan murid-murid menjadi duta kecil pemuliharaan alam sekitar dengan menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi hidupan liar kepada keluarga dan komuniti setempat.

Program diteruskan dengan ceramah oleh Pegawai Hidupan Liar, Noraisah Majri yang berkongsi pelbagai fakta menarik mengenai spesies burung terancam, fungsi taman negara serta tanggungjawab SFC dalam melindungi khazanah hidupan liar di Sarawak.

Sempena sambutan Hari Burung Hijrah Sedunia pada Oktober lalu, peserta turut diperkenalkan kepada Bako-Buntal Bay yang merupakan sebahagian daripada rangkaian Laluan Migrasi Asia Timur–Australasia (EAAFP).

Kawasan itu menjadi lokasi persinggahan penting bagi burung migrasi dari hemisfera utara sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan selatan, termasuk Australia dan New Zealand.

Burung-burung berkenaan mampu menempuh perjalanan sejauh kira-kira 20,000 kilometer setiap tahun dari kawasan pembiakan seperti Rusia, Alaska dan Amerika Syarikat untuk mencari kawasan yang lebih sesuai ketika musim sejuk.

Bagi memastikan peserta memahami pengisian yang disampaikan, pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan, termasuk sesi soal jawab, kuiz serta pengenalan kepada kaedah asas menjalankan tinjauan burung di kawasan sekolah.

Sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap usaha pendidikan pemuliharaan, cenderamata serta poster Hidupan Liar Terlindung Sarawak turut diserahkan oleh Warden Taman Negara Santubong kepada Guru Besar SK Buntal.

Program seumpama itu diharap dapat menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda untuk menghargai biodiversiti Sarawak serta memastikan habitat semula jadi hidupan liar terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Oleh Adi Safarman