Guru kesan tanda kecederaan, murid 11 tahun dakwa didera ibu kandung dan bapa tiri

Facebook
WhatsApp
KES DISIASAT... Polis Bau menjalankan siasatan berhubung dakwaan penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

KUCHING, 3 November: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan dan pemantauan lanjut selepas disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal oleh ibu kandung dan bapa tirinya di sebuah kampung di Bau.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.17 tengah hari tadi selepas seorang guru mendapati kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan tidak selesa dan kesakitan kira-kira 8.30 pagi.

Menurutnya, guru terbabit melihat kesan lebam pada beberapa bahagian belakang badan kanak-kanak itu, selain kesan calar pada pergelangan tangan kanan dan kaki kirinya.

“Kanak-kanak itu memberitahu gurunya bahawa dia telah dipukul oleh ibu kandung dan bapa tirinya ketika berada di rumah mereka di sebuah kampung di Bau,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, guru berkenaan membawa kanak-kanak tersebut ke klinik kesihatan untuk mendapatkan pemeriksaan awal sebelum membuat laporan polis bagi tindakan lanjut dan rujukan ke hospital.

Mohd Haide berkata, berdasarkan dakwaan kanak-kanak itu, bapa tirinya telah memukulnya menggunakan pembaris sehingga menyebabkan kesan lebam pada bahagian belakang badan.

Sementara itu, kesan calar pada kaki dan pergelangan tangannya pula didakwa berpunca daripada perbuatan ibu kandung dan bapa tirinya yang menggunakan pisau.

Bagaimanapun, pemeriksaan perubatan awal tidak menemukan kesan lebam atau kecederaan yang dapat disahkan berpunca daripada serangan fizikal.

Katanya, pengesahan lanjut masih menunggu laporan perubatan rasmi.

Kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di Wad Pediatrik 3A, HUS, bagi menerima rawatan serta pemantauan lanjut.

Mohd Haide berkata, polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Antara tindakan susulan yang akan diambil termasuk mendapatkan laporan perubatan dan psikiatri serta merakam keterangan lanjut daripada kanak-kanak itu apabila keadaan kesihatannya mengizinkan.

Polis juga akan mengesan ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak berkenaan untuk merakam keterangan mereka bagi membantu siasatan.

Selain itu, pihak polis akan mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah mengenai latar belakang sosial kanak-kanak terbabit, hubungannya dengan rakan sekelas serta sebarang aduan buli yang pernah dilaporkan sebelum ini.

Kes diklasifikasikan sebagai selesai dari segi pengesanan suspek kerana identiti individu yang disyaki terlibat telah dikenal pasti, namun siasatan lanjut masih diteruskan.

Oleh Connie Chieng