ICQS Tebedu bakal berwajah baharu, projek naik taraf dilaksana dua fasa

Facebook
WhatsApp
SESI libat urus dan taklimat berkaitan projek naik taraf Kompleks ICQS Tebedu yang berlangsung di kompleks berkenaan, hari ini. Foto: Dr Simon Sinang Tebedu

TEBEDU, 3 November: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu bakal berwajah baharu menerusi projek naik taraf yang dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta mutu penyampaian perkhidmatan di pintu masuk utama sempadan Sarawak-Kalimantan.

Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata beliau telah menghadiri sesi libat urus dan taklimat mengenai pelaksanaan projek tersebut yang berlangsung di Kompleks ICQS Tebedu, hari ini.

Menurut beliau, sesi taklimat itu melibatkan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian, Jabatan Imigresen Malaysia, pihak perunding serta kontraktor yang dilantik bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.

“Projek naik taraf ini melibatkan dua komponen utama yang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi di Kompleks ICQS Tebedu tidak terjejas sepanjang tempoh pembinaan,” katanya.

Bagi fasa pertama, sebuah penempatan sementara ICQS akan dibina bagi membolehkan operasi harian diteruskan tanpa gangguan. 

Kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada Ogos tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027 dalam tempoh enam bulan.

Fasa kedua pula melibatkan kerja merobohkan bangunan ICQS sedia ada sebelum pembinaan kompleks baharu yang lebih moden dan berkapasiti tinggi dilaksanakan. Tempoh pelaksanaan bagi fasa ini ditetapkan selama 45 bulan.

Dr Simon berkata, projek berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh kemudahan infrastruktur di kawasan sempadan selain meningkatkan kecekapan pengurusan.

Beliau turut berharap segala perancangan dan pelaksanaan projek dapat berjalan dengan lancar melalui kerjasama erat semua pihak yang terlibat.

“Kompleks ICQS yang baharu kelak bukan sahaja akan menawarkan kemudahan yang lebih moden dan selesa, malah mampu meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan kepada pengguna serta merangsang pembangunan ekonomi di kawasan Tebedu dan sekitarnya,” katanya.

Projek naik taraf tersebut dilihat sebagai satu pelaburan strategik bagi memperkukuh peranan Tebedu sebagai pintu masuk utama antarabangsa yang semakin penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan hubungan rentas sempadan di rantau ini.

Oleh Adi Safarman