Rebut peluang beraksi di Kejohanan Pickleball Terbuka Saratok 2026

Facebook
WhatsApp
PERTANDINGAN Pickleball Terbuka Saratok 2026 yang bakal berlangsung pada 28 dan 29 November ini.

SARATOK, 3 November: Peminat sukan pickleball berpeluang menguji kemampuan serta mempamerkan bakat masing-masing menerusi penganjuran Pertandingan Pickleball Terbuka Saratok 2026 yang bakal berlangsung di Dewan Lian Khing, Saratok pada 28 dan 29 November ini.

Pertandingan selama dua hari itu membuka penyertaan kepada semua peringkat umur tanpa had penarafan DUPR (Dynamic Universal Pickleball Rating), sekali gus memberi peluang kepada pemain baharu mahupun berpengalaman untuk beraksi dalam suasana kompetitif dan penuh kemesraan.

Penganjuran pertandingan itu turut menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,000 berserta medal kepada pemenang bagi kategori beregu lelaki dan beregu perempuan.

Bagi kategori beregu lelaki, juara bakal membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta medal, manakala naib juara menerima RM500 dan tempat ketiga RM300.

Sementara itu, kategori beregu perempuan menawarkan hadiah RM600 berserta medal kepada juara, RM400 kepada naib juara dan RM200 bagi tempat ketiga.

Dari segi yuran penyertaan, peserta kategori beregu lelaki dikenakan bayaran RM80 bagi setiap regu, manakala beregu perempuan RM60 bagi setiap regu.

Pertandingan yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu, malah menjadi platform memperluas penyertaan masyarakat dalam sukan pickleball yang semakin mendapat perhatian.

Penganjuran itu juga diharap dapat menggalakkan gaya hidup aktif, mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan komuniti setempat.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan tersebut boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran dengan menghubungi penganjur menerusi talian 012-782 7529 (Lee) atau Corina di 013-847 3773.

Orang ramai khususnya peminat pickleball dijemput mengambil peluang menyertai pertandingan berkenaan dengan mengumpulkan pasangan masing-masing dan memeriahkan gelanggang di Saratok.

Oleh Adi Safarman