KABONG, 3 November: Program Iringan Ziarah Mahabbah Zon Tengah 2 bukan sekadar platform menyantuni masyarakat, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh ukhuwah Islamiah, menyemai semangat kebersamaan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti setempat.
Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, penganjuran program seumpama itu membawa manfaat besar kepada masyarakat kerana mampu memupuk sikap saling mengambil berat serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan penduduk.
“Hubungan erat antara pemimpin, pihak pengurusan masjid dan surau serta masyarakat merupakan asas penting dalam membina komuniti yang harmoni, bersatu padu dan sentiasa mengutamakan kebajikan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penangguhan Program Iringan Ziarah Mahabbah Zon Tengah 2 anjuran Majlis Islam Sarawak yang berlangsung di Masjid Assabirin, Kabong, semalam.
Chee Kadir turut menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana program berkenaan berjaya dilaksanakan dalam suasana penuh kemesraan, ukhuwah dan semangat kebersamaan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, jawatankuasa pentadbiran masjid dan surau, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kabong serta semua pihak yang memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program tersebut.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform mendekati masyarakat, memahami keperluan mereka serta menyampaikan sokongan kepada golongan yang memerlukan.
“Usaha murni berteraskan nilai ukhuwah Islamiah dan semangat kekitaan itu perlu terus diperkasakan bagi melahirkan masyarakat yang penyayang, prihatin dan sentiasa bersedia untuk saling membantu,” katanya.
Oleh Adi Safarman





