Ular sawa batik lima meter ditangkap ketika baham ayam

Facebook
WhatsApp
OPERASI TANGKAP..Ular batik sepanjang lima meter berjaya ditangkap APM Limbang. Foto APM Limbang

LIMBANG, 3 November: Seekor ular sawa batik sepanjang lima meter berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Limbang ketika sedang membaham ayam di dalam reban penduduk di Kampung Pabahana, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Kapten (PA) Jumaat Akasas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam melalui Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Limbang pada 10.19 pagi.

Menurutnya, sepasukan empat anggota Skuad Charlie diketuai Koperal (PA) Mohd Arif Midun digerakkan ke lokasi pada 10.21 pagi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, anggota APM bertemu pengadu yang memaklumkan seekor ular sawa batik sepanjang lima meter berada di dalam reban ayam dan sedang memakan seekor ayam.

“Anggota operasi kemudian berjaya menangkap ular sawa batik itu menggunakan kaedah menjerut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Operasi menangkap reptilia itu melibatkan empat anggota APM dengan menggunakan sebuah kenderaan.

Oleh Adeng Edrus