CYBERJAYA, 3 November: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran menerusi akaun Facebook “Vikke Lee” yang disyaki mengandungi unsur jelik melampau serta menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R), berkaitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
MCMC dalam kenyataan berkata, rakaman percakapan telah diambil di Balai Polis Sri Petaling bagi membantu siasatan, selain sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM disita.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC memandang serius penyebaran kandungan dalam talian yang disyaki mengandungi maklumat palsu atau unsur penghinaan terhadap institusi diraja, khususnya kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab serta tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang melanggar undang-undang negara.





