Pembangunan tanah perlu dinilai berdasarkan fakta, bukan naratif politik

Facebook
WhatsApp
WILFRED Yap.

KUCHING, 3 November: Pembangunan tanah perlu dinilai berdasarkan fakta yang didokumenkan, rekod sejarah dan prosedur pentadbiran yang sewajarnya, bukannya naratif politik, kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N12 Kota Sentosa Wilfred Yap.

Mengulas kritikan terbaharu Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berhubung pemberimilikan tanah yang melibatkan Global Upline Sdn Bhd, Yap berkata beliau telah mengambil inisiatif membuat semakan bagi mendapatkan gambaran sebenar serta memahami sejarah pentadbiran perkara berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Beliau berkata rekod rasmi menunjukkan Global Upline mengemukakan permohonan tanah itu pada 2005 dan kelulusan pemberimilikan diberikan pada 2006, jauh sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021 yang menyaksikan beliau dipilih sebagai ADUN Kota Sentosa.

Katanya, dua daripada tiga lot tanah berkenaan telah didaftarkan pada 2011, ketika Chong masih menjadi wakil rakyat Kota Sentosa, yang disandangnya selama 15 tahun dari 2006 hingga 2021.

Jumlah premium tanah yang dikenakan bagi ketiga-tiga lot itu ialah RM26.748 juta, termasuk RM8.46 juta bagi Lot 108, dan pihak pemaju telah menjelaskan sepenuhnya premium yang ditetapkan.

Yap menjelaskan pendaftaran Lot 108 ditangguhkan kerana tapak berkenaan masih diduduki Balai Polis Kota Sentosa. Pendaftarannya hanya diselesaikan pada Julai 2022 selepas proses pentadbiran berkaitan dilaksanakan.

Beliau berkata perbezaan antara kelulusan asal pemberimilikan tanah pada 2006 dengan pendaftaran Lot 108 pada 2022 perlu difahami, sambil menegaskan bahawa menggambarkan pendaftaran pada 2022 sebagai keputusan pemberimilikan tanah baharu selepas PRN 2021 tidak mencerminkan kronologi pentadbiran sebenar.

Mengenai kepentingan ekonomi, Yap berkata pengurusan tanah yang bertanggungjawab bukan sekadar bertujuan mengutip premium tanah, tetapi turut perlu menggalakkan pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana manfaat ekonomi dan sosial jangka panjang.

Katanya, cadangan pembangunan kediaman itu berpotensi menyediakan peluang pemilikan rumah kepada keluarga tempatan, menarik pelaburan swasta dan merancakkan kegiatan ekonomi dalam kalangan peniaga di sekitar kawasan Kota Sentosa.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan ekonomi tidak seharusnya mengabaikan kepentingan awam, sambil memaklumkan bahawa Pihak Berkuasa Perancang Negeri secara rasmi telah meluluskan pengekalan tapak Balai Polis Kota Sentosa sedia ada pada 22 Oktober 2026.

Melalui pengaturan itu, bahagian tanah berkaitan akan diserahkan semula kepada Kerajaan tanpa sebarang bayaran, manakala kerja-kerja ukur telah dimulakan bagi menentukan sempadan sebenar tapak berkenaan.

Yap berkata perkara itu menunjukkan pihak berkuasa telah mengambil langkah untuk melindungi kemudahan awam yang penting, sambil membolehkan proses pembangunan yang lebih luas diteruskan.

Beliau bersetuju bahawa tanah kerajaan mesti diuruskan secara telus, bertanggungjawab dan mengikut prosedur yang ditetapkan, namun menegaskan kritikan awam juga perlu dibuat secara adil serta berdasarkan keseluruhan bukti dan dokumen berkaitan.

Beliau turut mengemukakan dua persoalan kepada Chong, antaranya mengapa isu berkenaan tidak dibangkitkan sepanjang 15 tahun beliau menjadi ADUN Kota Sentosa, khususnya ketika kelulusan asal diberikan pada 2006 dan dua lot tanah didaftarkan pada 2011.

Beliau turut mempersoalkan mengapa isu itu hanya kini menjadi bahan kritikan terbuka, beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13.

Yap berkata prinsip akauntabiliti awam perlu dilaksanakan secara konsisten dan bukan secara terpilih, sambil menegaskan bahawa perkara berkepentingan awam perlu diteliti apabila perlu dan bukan hanya apabila pilihan raya semakin hampir.

Beliau berkata tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan rasmi kepada Ombudsman Sarawak atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya fakta dan bukti yang diperoleh mewajarkan tindakan sedemikian.

“Tiada individu atau organisasi yang boleh terkecuali daripada penelitian sewajarnya. Sebarang petunjuk berasas mengenai salah laku pentadbiran, penyalahgunaan kuasa atau rasuah mesti ditangani melalui saluran institusi yang betul,” katanya.

Yap menegaskan bahawa keutamaannya adalah untuk melindungi kepentingan awam, mempertahankan standard etika dan memastikan akauntabiliti, sambil menekankan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan pertarungan kepentingan politik.

Oleh Connie Chieng