KUALA LUMPUR, 3 November: Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) menggesa pihak industri menawarkan gaji setimpal dengan kemahiran dan kelayakan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Presidennya merangkap Ahli Majlis TVET Negara Mohammad Rizan Hassan berkata pihaknya menyokong ketegasan kerajaan dalam mengawal kebergantungan industri terhadap pekerja asing, namun kecewa apabila masih terdapat majikan yang menawarkan gaji kepada graduan TVET pada kadar sama seperti pekerja asing tanpa mengambil kira kemahiran, kelayakan dan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata langkah kerajaan itu perlu disusuli tindakan konsisten bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dapat dinikmati rakyat tempatan, termasuk lebih 400,000 graduan TVET.
“Graduan yang telah menjalani latihan teknikal sepatutnya dinilai berdasarkan kompetensi dan sumbangan yang mampu diberikan, bukan dilayan sebagai tenaga kerja murah.
“Jika syarikat mahu negara menyediakan tenaga mahir, industri juga perlu bersedia memberi ganjaran yang adil, persekitaran kerja yang bermaruah dan laluan kerjaya yang jelas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata industri perlu menunjukkan komitmen terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan dengan melabur dalam latihan, teknologi dan peningkatan produktiviti, bukannya terus bergantung kepada buruh murah.
Mohammad Rizan berkata kebergantungan terhadap tenaga kerja murah boleh membantutkan peningkatan kemahiran, mengecilkan peluang mobiliti sosial serta melemahkan usaha negara membina ekonomi bernilai tinggi.
Selain menawarkan gaji setimpal, beliau berkata majikan juga perlu mempertimbangkan kemudahan pengangkutan dan penginapan bagi pekerja tempatan untuk mengurangkan beban kos sara hidup serta menjadikan pekerjaan lebih menarik kepada graduan TVET.
Rizan turut mencadangkan supaya industri mewujudkan jabatan atau bahagian pembelajaran dan pembangunan yang berperanan aktif dalam ekosistem latihan, selain memperkukuh kerjasama dengan institusi TVET awam dan swasta bagi menyelaraskan latihan dengan keperluan industri.
Beliau berkata Belia Mahir mengakui pekerja asing masih mempunyai peranan dalam sektor tertentu, khususnya pekerjaan berbahaya, sukar dan kotor, namun kebergantungan berlebihan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan graduan tempatan yang mempunyai kemahiran berkaitan. – Bernama





