Teknologi pengesanan baharu diperkukuh, kesan taktik canggih seludup dadah – Anwar

Facebook
WhatsApp
KERAJAAN memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara menerusi penggunaan teknologi pengesanan lebih canggih bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah. Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November: Taktik penyeludupan dadah yang semakin sofistikated menuntut penggunaan teknologi pengesanan lebih canggih di pintu masuk negara bagi memastikan kegiatan sindiket tidak terlepas daripada pemantauan pihak berkuasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebergantungan kepada mesin pengimbas sedia ada di lapangan terbang tidak lagi mencukupi kerana teknologi itu dibangunkan untuk mengesan senjata dan bahan letupan, bukannya bahan terlarang seperti dadah yang disembunyikan menggunakan kaedah lebih kompleks.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kemudahan analitik baharu sedang disediakan bagi meningkatkan keupayaan mengesan penyeludupan dadah.

“Kemudahan yang disediakan itu kemudahan berdasarkan teknologi lama dan penyeludupan ini caranya lebih canggih dan kadang tak dapat dikesan daripada badan itu memang betul.

“Sebab itu sekarang disediakan kemudahan dipanggil analitik baharu untuk dapat mengesan dadah selain daripada K9 (Unit Anjing Pengesan). Kadang-kadang anjing ini jadi masalah juga dalam kalangan sebahagian penumpang. Ini kemudahan baharu yang telah diperoleh, tetapi baru di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mencari kaedah lain bagi mengesan penyeludupan dadah yang semakin canggih memandangkan mesin pengimbas di lapangan terbang hanya dibina untuk mengesan bahan letupan dan senjata.

Perdana Menteri berkata kemudahan pengesanan berasaskan teknologi baharu itu perlu diperluas memandangkan sindiket kini mula mengalihkan operasi ke lapangan terbang lain, termasuk Pulau Pinang, Alor Setar, Kedah; Kota Bharu, Kelantan dan Ipoh, Perak, khususnya lokasi yang mempunyai penerbangan antarabangsa.

“Jadi kita kena sediakan kemudahan teknologi dan analitik ini yang lebih canggih. Ini tepat seperti disebut oleh Yang Berhormat kerana penjenayah pun dia menggunakan satu peralatan, kemudahan canggih yang tidak dapat dikesan. 

“Saya lihat umpamanya satu laporan di mana dadah itu, bila diperiksa tidak dikesan dengan peralatan yang ada. Tetapi dengan peralatan analitik yang baharu, mudah-mudahan Insya-Allah dapat dikurangkan,” kata beliau.

Mengulas langkah kerajaan memperketat kawalan keselamatan, Anwar berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) merancang untuk bekerjasama memperkenalkan beberapa langkah atau inisiatif baharu yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Beliau berkata tindakan bersepadu bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini merekodkan 93 tangkapan membabitkan percubaan penyeludupan 2.56 kilogram (kg) dadah bernilai RM202.7 juta di pintu masuk negara.

“Tentang penguatkuasaan AKPS (Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia), ini hanya dadah, tapi untuk AKPS sudah 44 kes rampasan dan berjumlah RM11.22 juta.

“Sejak pelan tindakan Ogos hingga Oktober, 41 kes rampasan yang direkodkan melibatkan RM42.38 juta. Ini saya nak jelaskan bahawa operasi ini mesti ditingkatkan,” kata beliau.

Bagi menyokong keperluan aset teknologi canggih dan operasi menyeluruh berkenaan, Anwar berkata peruntukan bagi AKPS telah ditingkatkan secara mendadak daripada RM37 juta tahun lepas kepada RM490 juta tahun ini.

“Operasi khas pemeriksaan sekarang ini sudah 100 peratus. Dulu kalau periksa badan itu diprotes, sekarang ini digunakan K9 anjing untuk kes-kes dadah. Oleh itu, pemeriksaan diteruskan termasuk yang ke Indonesia, London, Paris, Singapura, Kolkata, Tiruchirappalli, Delhi, Hong Kong, Doha, Auckland. 

“Ini dilaksanakan kepada 3,637 penerbangan termasuk 19,721 kru penerbangan, 438,000 pat-down kepada penumpang dan pemeriksaan sebanyak 599,700 bagasi, dalam siasatan itu memang ada barangan larangan yang telah dikenal pasti,” kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji dan mengucapkan tahniah atas kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang menahan 282 individu menerusi Op Dadu khas selama dua hari bagi melumpuhkan kegiatan perjudian dalam talian dan loteri awam tanpa lesen.

Anwar berkata demikian menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu langkah kerajaan memperketat kawalan keselamatan serta menangani kelemahan koordinasi antara agensi penguatkuasaan susulan kebelakangan ini berlakunya peningkatan kes penyeludupan dadah dan barangan terlarang melalui pintu sempadan negara khususnya KLIA dan Lapangan Terbang Subang.- Bernama