KUCHING, 2 November: Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Pangkalan Baru Fasa 2 dijangka meningkatkan kemudahan infrastruktur serta mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif untuk penduduk setempat.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, pelaksanaan projek itu mencerminkan usaha berterusan untuk menambah baik kemudahan asas dan memenuhi keperluan komuniti di kawasan berkenaan.
Menurutnya, infrastruktur komuniti yang baik penting dalam menyokong kehidupan seharian penduduk, selain membantu mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang lebih selesa.
“Penambahbaikan infrastruktur secara berterusan penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat memenuhi keperluan penduduk serta menyokong pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan tapak bagi projek RTP Pangkalan Baru Fasa 2 di sini, hari ini.
Lo turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan agensi berkaitan atas usaha serta kerjasama dalam merancang dan melaksanakan projek berkenaan.
Beliau berharap projek itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual supaya penduduk setempat dapat menikmati manfaat daripada kemudahan yang ditambah baik dalam masa terdekat.
Katanya, pembangunan komuniti memerlukan kerjasama semua pihak dan beliau akan terus bekerjasama dengan MPP, agensi berkaitan serta pemimpin masyarakat bagi memastikan keperluan infrastruktur setempat diberi perhatian.
“Usaha berterusan ini penting untuk mewujudkan komuniti yang lebih selesa, teratur dan kondusif untuk didiami,” katanya.
Oleh Connie Chieng





