Lelaki dalam video tular berguling di jalan raya dipercayai terbabit kemalangan

Facebook
WhatsApp
TANGKAP layar video tular memaparkan seorang lelaki di atas jalan raya, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kemalangan motosikal di Batu 4½, Jalan Kuching, pada 31 Oktober lalu.

KUCHING, 2 November: Lelaki yang tular menerusi video memaparkan dirinya berguling-guling di atas jalan raya dipercayai mengalami kesakitan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Batu 4½, Jalan Kuching, pada 31 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Barry William berkata, siasatan awal mendapati lelaki tempatan yang bekerja sebagai penghantar makanan itu dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta berhampiran simpang Kedai 688, kira-kira 9.00 pagi.

Susulan kemalangan itu, lelaki berkenaan dilaporkan mengalami kesakitan di seluruh badan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakannya seperti dipaparkan dalam video tular berkenaan.

Beliau berkata, polis menjalankan pemeriksaan di kediaman lelaki itu di kawasan Batu Kitang pada 2 November, kira-kira 1.30 petang, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden tersebut.

Pemeriksaan yang dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan terhadap lelaki itu dan kediamannya tidak menemukan sebarang barang salah.

Ujian saringan awal air kencing turut menunjukkan keputusan negatif bagi dadah, manakala ujian menggunakan alat pengesanan visual awal dadah (IVDD) juga mencatatkan keputusan negatif.

Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Barry menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung insiden itu.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan.

Oleh Connie Chieng