BINTULU, 2 November: Graduan universiti digalakkan merebut peluang dalam sektor makanan dan pertanian dengan memanfaatkan ilmu serta kepakaran yang dimiliki bagi menghasilkan idea dan penyelesaian baharu dalam industri berkenaan.
Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata, penglibatan golongan graduan penting dalam membawa pendekatan lebih moden menerusi penggunaan inovasi dan teknologi bagi memperkukuh sektor pertanian.
Menurutnya, usaha memperluas penggunaan teknologi dalam sektor itu turut diperkukuh menerusi pembangunan Hab Pertanian (AgriHub) di Gedong dengan sokongan dana tambahan RM1,506,886 daripada kerajaan Sarawak.
“Kerajaan Sarawak telah menyalurkan tambahan dana sebanyak RM1,506,886 bagi menjayakan inisiatif ini.
“Semoga inisiatif ini terus menyumbang kepada agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030, khususnya dalam memacu pertanian berasaskan inovasi dan teknologi, meningkatkan keterjaminan makanan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), hari ini.

Peter berkata, pembangunan Hab Pertanian di Gedong dilaksanakan menerusi kerjasama UPMS dan Putra Science Park bagi menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan petani serta komuniti setempat.
Pelaksanaan projek itu diteruskan menerusi Sandbox Gedong, iaitu program pemindahan teknologi UPM yang menggabungkan pelbagai inovasi dan hasil penyelidikan bagi mengoptimumkan pengeluaran padi.
Usaha itu membolehkan kepakaran serta teknologi yang dibangunkan universiti dimanfaatkan dalam aktiviti pertanian, sekali gus memperkenalkan pendekatan lebih moden dalam pengeluaran makanan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Projek Hab Pertanian (AgriHub) di Gedong, Profesor Dr Shahrul Razid Sabini serta seluruh pasukan yang terlibat dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Majlis itu turut menyaksikan seramai 619 graduan menerima pengiktirafan, terdiri daripada 21 graduan Doktor Falsafah, 21 graduan sarjana, 100 graduan ijazah sarjana muda dan 477 graduan diploma daripada pelbagai program pengajian.
Oleh Faizah Muzidi




