KUCHING, 2 November: Kerjasama antara Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dengan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dijangka memperkukuh usaha meningkatkan integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh pembangunan kapasiti, pertukaran ilmu dan pembangunan profesional dalam bidang berkenaan.
Katanya, kerjasama berkenaan juga berpotensi meletakkan Sarawak sebagai hab global dalam bidang integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah, selain meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuh reputasi negeri.

“Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh integriti, antirasuah dan tadbir urus, khususnya melalui pembangunan kapasiti, pertukaran ilmu dan pembangunan profesional.
“Dalam jangka panjang, kerjasama ini berpotensi meletakkan Sarawak sebagai hab global dalam bidang integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah, selain meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuh reputasi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis pelancaran Program Kepimpinan Tadbir Urus Wilayah Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, cabaran berkaitan rasuah dan tadbir urus tidak terhad kepada sempadan organisasi atau negara, justeru perkongsian pengalaman serta kepakaran antarabangsa penting bagi membantu memahami risiko baharu dan pendekatan berkesan untuk menanganinya.
Menurutnya, kerjasama dengan IACA akan memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengalaman antarabangsa dan pendekatan praktikal yang boleh disesuaikan dengan kerangka perundangan, susunan institusi serta keutamaan pembangunan Sarawak.
Beliau turut menegaskan bahawa integriti merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan kerajaan, sektor perniagaan, pekerja, badan profesional, masyarakat sivil dan rakyat dalam memupuk amalan beretika serta akauntabiliti.
“Keyakinan orang ramai dapat diperkukuh apabila kebimbangan boleh disuarakan secara bertanggungjawab dan ditangani menerusi proses yang adil serta diyakini,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan Sarawak perlu disokong institusi yang berupaya mengurus sumber secara bijaksana, melaksanakan kuasa dengan penuh tanggungjawab serta memenuhi komitmen kepada rakyat.
Justeru, budaya yang mengutamakan amalan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus baik perlu terus diperkukuh bagi menyokong kemajuan bermakna di negeri ini.
Oleh Adele Rissa




