Keluarga dua kakitangan MSS terima sumbangan khairat, insurans RM5,000

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga dua kakitangan Majlis Seni Sarawak (MSS) yang meninggal dunia di Bangunan Baitulmakmur II, di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 2 November: Keluarga dua kakitangan Majlis Seni Sarawak (MSS) yang meninggal dunia masing-masing menerima sumbangan khairat peribadi sebanyak RM500 serta manfaat perlindungan insurans berjumlah RM5,000 bagi membantu meringankan beban mereka.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap jasa kedua-dua Allahyarham yang telah berkhidmat selama lebih 15 tahun.

Dua kakitangan berkenaan ialah Allahyarham Mohamad Arawi Mat Nor, 45, yang meninggal dunia pada 27 Oktober lepas, dan Allahyarham Sulaiman Tuah, 54, yang meninggal dunia pada 11 Oktober lepas.

Kedua-duanya memulakan perkhidmatan sebagai kakitangan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) pada 3 Januari 2011 di bawah Unit Pembangunan Kebudayaan, Jabatan Ketua Menteri Sarawak sebelum meneruskan perkhidmatan bersama MSS.

Menurut Abdul Karim, manfaat perlindungan insurans di bawah skim Insurans Kumpulan Hospital dan Pembedahan berjumlah RM5,000 bagi setiap keluarga dan khusus untuk membantu menampung perbelanjaan pengurusan jenazah.

Selain sumbangan berkenaan, keluarga Allahyarham Sulaiman turut menerima bayaran saraan berjumlah RM1,416.98 bagi tempoh 1 hingga 10 Oktober 2026, tertakluk kepada tatacara kewangan dan peraturan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, kebajikan kakitangan serta keluarga mereka sentiasa menjadi keutamaan, manakala sumbangan yang disampaikan itu merupakan tanda penghargaan terhadap khidmat bakti kedua-dua Allahyarham kepada organisasi serta pembangunan seni dan budaya Sarawak.

“Sumbangan yang disampaikan ini bukanlah ukuran kepada segala jasa dan pengorbanan mereka, sebaliknya merupakan tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap insan yang telah memberikan khidmat bakti kepada organisasi serta pembangunan kesenian dan kebudayaan Sarawak,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua Allahyarham dan berharap agar sumbangan khairat, manfaat insurans serta bayaran saraan berkenaan dapat membantu meringankan beban mereka dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Oleh Shahrul Qaizat