Tiga cedera, seorang tersepit dalam kemalangan dua kenderaan

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat di lokasi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Airport Baru. Foto JBPM.

KUCHING, 2 November: Tiga individu cedera, termasuk seorang lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu, dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Axia dan lori kargo di Jalan Airport Baru, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.57 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya tiba di lokasi lapan minit kemudian.

Menurutnya, terdapat tiga mangsa berada di dalam kereta Perodua Axia ketika kemalangan berlaku.

Dua mangsa berjaya keluar dari kenderaan dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lelaki masih tersepit di tempat duduk pemandu.

Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

LORI kargo yang terbabit dalam kemalangan dengan kereta Perodua Axia di Jalan Airport Baru. Foto JBPM.

Kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Operasi dikawal pada 12.29 tengah hari dan ditamatkan sepenuhnya pada 12.38 tengah hari selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.

Seramai lapan anggota bomba dengan sebuah jentera dari BBP Tabuan Jaya terlibat dalam operasi berkenaan, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.

Oleh Shikin Mahmud