KUCHING: Kerajaan Sarawak menyerahkan cek pampasan tanah berjumlah RM19,165,836.40 kepada 24 penerima yang terjejas akibat Projek Takungan Air Bertahap Tinggi Matang dan Sistem Paip Bersepadu Bagi Menambah Baik Bekalan Air di Kawasan Utara Kuching .
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak secara keseluruhannya telah membelanjakan RM24.6 juta untuk kos pengambilan balik tanah setakat ini.
“Kerajaan Sarawak menerusi pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa berusaha memaksimumkan pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar demi untuk kepentingan negeri dan kemudahan serta kesejahteraan rakyat.
“Oleh sebab itu, beliau (Abang Johari) sentiasa berusaha untuk mencari jalan mendapatkan pendapatan yang lebih kepada negeri ini bagi merealisasikan usaha kerajaan dengan melipat gandakan pembangunan infrastruktur, utiliti serta menyediakan prasarana yang lebih baik di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Mohd. Naroden Majais pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bahagian Kuching di sebuah hotel terkemuka, semalam.
Tambahnya, kita dapat lihat pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan utiliti yang telah diluluskan dan sedang dilaksana oleh kerajaan.
“Sebagai contoh kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir, pelaksanaan projek jalan utama kedua (Second Trunk Road), jambatan, loji rawatan air, stesen pencawang elektrik, menara telekomunikasi yang sudah dibina atau dalam pelaksanaan dan lain-lain.
“Oleh kerana itulah, Kerajaan Sarawak perlu mengambil balik tanah sama ada ia melibatkan tanah berhakmilik ataupun tertakluk tuntutan Tanah Adat Bumiputera (NCR) untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur dan utiliti demi kepentingan awam dan demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana serta infrastruktur yang lebih sempurna,” ujarnya.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak tidak mengambil tanah secara percuma sebaliknya tanah yang diambil berdasarkan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.
“Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. Kadar pampasan ini dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman, struktur binaan dan saiz tanah mengikut nilai semasa,” tambahnya.
Katanya lagi, penyerahan cek pampasan tanah ini membuktikan rakyat menyokong dan menyedari hasrat murni Kerajaan Sarawak dengan memberi kerjasama demi kebaikan pada masa depan.
“Pada hari ini (semalam) Kerajaan Sarawak menyerahkan sebanyak 32 Cek Pampasan Tanah bagi Projek Takungan Air Bertahap Tinggi Matang dan Sistem Paip Bersepadu Bagi Menambah Baik Bekalan Air di Kawasan Utara Kuching Fasa 1 kepada 24 orang penerima berjumlah RM 19,165,836.40. Kerajaan secara keseluruhannya telah membelanjakan RM24.6 juta untuk kos pengambilan balik tanah,” ujarnya lagi.
Projek-projek bekalan air yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk memberi manfaat yang bermakna untuk rakyat.
“Projek Takungan Air Aras Tinggi di Matang dan pemasangan paip ini melibatkan pembinaan dan penyiapan takungan pertengahan dengan kapasiti 100ML, takungan air tahap atas kedua dengan kapisiti 9ML, naik taraf Stesen Pam Penggalak di Matang & Batu Kitang WTP, sistem paip dan kerja-kerja berkaitan.
“Projek ini telah dirancang dengan teliti bagi menampung permintaan bekalan air semakin meningkat di Bahagian Kuching khususnya di Kawasan Kuching Utara terutama di Santubong, Buntal, Bandar Baru Semariang, Petra Jaya, Kampung Rampangi, Pasir Pandak, Demak Laut, Kampung Bako, Muara Tebas, Port Senari,” ujarnya.
Disamping menambah baik sistem bekalan air sedia ada, projek ini juga dijangka dapat melonjakkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Ia juga memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan berkenaan.
“Projek Takungan Air Aras Tinggi di Matang dan pemasangan paip merupakan sebahagian dalam Program Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Sarawak bagi menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.
“Kerajaan mensasarkan isu bekalan air akan diselesaikan menjelang 2025. Sarawak akan mulai membangunkan sistem grid air menjelang 2025 dan Sarawak boleh menguruskan bekalan air dengan baik untuk rakyat negeri ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, projek seperti ini jelas akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini membuktikan bahawa segala yang telah dirancang Kerajaan Sarawak pasti dilaksana demi kesenangan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN