Jualan kraf Regata Sarawak dijangka lepasi RM2 juta

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ditemui pemberita ketika mengulas prestasi jualan produk kraf sempena Regata Sarawak 2026 di Tebingan Kuching, hari ini.

KUCHING, 1 November: Jualan produk kraf sepanjang penganjuran Regata Sarawak 2026 dijangka melepasi RM2 juta susulan sambutan menggalakkan daripada pengunjung sejak acara itu berlangsung pada 23 Oktober lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah jualan bagi edisi tahun ini masih belum dimuktamadkan memandangkan aktiviti jualan diteruskan sehingga malam ini, namun beliau menjangkakan nilainya berpotensi melebihi RM2 juta.

Beliau berkata, pada edisi tahun lalu, jualan produk kraf sepanjang Regata Sarawak merekodkan kira-kira RM2.4 juta.

Menurutnya, susun atur ruang jualan kraf pada tahun ini lebih teratur apabila semua gerai ditempatkan di sebelah kanan khemah, manakala ruang di sebelah kiri dikhususkan sebagai laluan pejalan kaki.

Pendekatan itu berbeza berbanding edisi terdahulu apabila gerai jualan dibuka di kedua-dua belah khemah, sekali gus menyebabkan pergerakan pengunjung kurang teratur.

Selain produk kraf, Sarawak Kitchen turut menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung, namun jumlah jualannya masih belum diperoleh.

Abdul Karim berkata, sambutan terhadap Regata Sarawak tahun ini turut didorong oleh kehadiran pelawat antarabangsa yang berada di Kuching bagi menghadiri beberapa acara besar, termasuk Perhimpunan Agung Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS) yang menghimpunkan kira-kira 1,800 delegasi dari 109 negara.

Kira-kira 1,500 anggota etnik Chawan dari seluruh dunia turut berada di Kuching bagi menghadiri perhimpunan antarabangsa komuniti berkenaan, selain kehadiran pasukan luar negara yang menyertai Festival Perahu Naga Antarabangsa.

Menurutnya, kehadiran pelawat dan delegasi berkenaan turut memberi kesan positif kepada sektor perhotelan apabila hotel di sekitar Tebingan Kuching melaporkan kadar kunjungan yang memuaskan.

Abdul Karim ditemui pemberita pada hari terakhir Regata Sarawak 2026 di Tebingan Kuching, hari ini.

Oleh Afiq Sallehi