Todak Berjaya muncul Raja Sungai baharu Regata Sarawak 2026

Facebook
WhatsApp
YANG di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama para pemenang acara Bidar 30 Pekayuh pada Regata Sarawak 2026 di Tebingan Kuching.

KUCHING, 1 November: Pasukan Todak Berjaya muncul Raja Sungai baharu Regata Sarawak 2026 selepas menjuarai acara akhir Bidar 30 Pekayuh, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

Kejayaan itu menyaksikan Landas Saga Sebuyau, yang mempertahankan gelaran berkenaan pada edisi 2025, terpaksa menyerahkan takhta kepada juara baharu selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM20,000.

Dalam perlumbaan akhir yang disertai 13 pasukan itu, Todak Berjaya mempamerkan kayuhan bertenaga sejak permulaan sebelum mengekalkan rentak sehingga ke garisan penamat untuk mengesahkan kejuaraan.

YANG di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan pemimpin menyaksikan perlumbaan akhir acara Bidar 30 Pekayuh bagi merebut gelaran Raja Sungai pada Regata Sarawak 2026 di Tebingan Kuching.

Landas Saga Sebuyau menduduki tempat kedua, manakala Udak 8 melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan memenangi hadiah wang tunai RM10,000.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Persaingan sengit antara pasukan turut menarik perhatian orang ramai yang memenuhi kedua-dua tebing Sungai Sarawak di kawasan Tebingan Kuching untuk menyaksikan acara kemuncak berkenaan.

PASUKAN Todak Berjaya dan pasukan lain meraikan kejayaan dengan sorakan kegembiraan selepas dinobatkan sebagai juara acara Bidar 30 Pekayuh dan Raja Sungai Regata Sarawak 2026 di Tebingan Kuching.

Hujan renyai-renyai sepanjang perlumbaan bagaimanapun tidak mematahkan semangat penonton yang terus bertahan di tebing sungai bagi memberikan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing.

Sorakan orang ramai yang membanjiri kawasan sekitar Tebingan Kuching menambahkan kemeriahan perlumbaan, sekali gus membuktikan Regata Sarawak terus menjadi tarikan masyarakat dan pengunjung untuk menyaksikan kehebatan sukan perahu tradisional itu.

Oleh Afiq Sallehi

Brighton benam Man City 1-0 di Etihad

MANCHESTER (United Kingdom), 1 November: Pengendali Manchester City, Enzo Maresca sekali lagi meluahkan kekecewaan selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Brighton