FELCRA bangunkan 125 hektar estet padi, sasaran benih pertama Disember ini

Facebook
WhatsApp
LAWATAN kerja ke Projek Tanaman Padi FELCRA Stumbin yang dihadiri oleh Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Datuk Rubiah Wang. Foto: Rubiah Wang Official

LINGGA, 1 November: FELCRA Berhad komited memastikan Projek Tanaman Padi FELCRA Stumbin di Sri Aman menjadi pelaburan jangka panjang bagi membina keupayaan pengeluaran benih padi sah, sekali gus meningkatkan tahap sara diri beras Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Dato’ Mohamed Ismi Abdul Majid berkata projek itu bukan sekadar pembangunan infrastruktur pertanian, malah turut mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan setempat.

RAKAMAN dari udara projek tanaman padi FELCRA Stumbin di Sri Aman. Foto: Rubiah Wang Official

“Bagi FELCRA, Stumbin merupakan pelaburan jangka panjang untuk membina keupayaan pengeluaran benih padi sah, mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan setempat, serta menyumbang kepada peningkatan tahap sara diri beras Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena lawatan kerja ke Projek Tanaman Padi FELCRA Stumbin, dekat sini kelmarin.

Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Mohamed Ismi berkata, pada 8 Mac 2023, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan pembangunan estet padi di Sarawak dan Sabah yang akan dilaksanakan FELCRA Berhad menerusi model pembangunan di Seberang Perak.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan melalui KKDW menyediakan peruntukan pembangunan RM50 juta, manakala kerajaan Sarawak melalui M-FICORD menyediakan tanah seluas 125 hektar di Stumbin untuk pengeluaran benih padi bagi memenuhi keperluan pesawah di negeri ini.

“Daripada RM50 juta itu, FELCRA Berhad telah disalurkan RM25.6 juta atau 51 peratus untuk kerja awalan dan pembangunan dari tahun 2024 hingga 2026. Bagi tahun ini, kami menerima RM13.6 juta untuk pembangunan infrastruktur Fasa 2,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman FELCRA di Seberang Perak akan dimanfaatkan dan disesuaikan dengan keadaan tanah, sistem pengairan dan saliran serta keperluan operasi pertanian di Stumbin.

Dari segi kemajuan, infrastruktur Fasa 1 seluas 41.2 hektar telah siap dibangunkan, dengan penanaman pertama disasarkan bermula Disember ini, tertakluk kepada kesiapsiagaan tapak, pengurusan air, bekalan benih dan keperluan operasi.

Bagi Fasa 2 yang melibatkan 32.2 hektar, kerja pembangunan infrastruktur bermula pada 8 Oktober lalu, dengan 13 unit jentera operasi ladang dirancang untuk menyokong kerja pertanian dan meningkatkan kecekapan pengurusan.

Fasa 3 pula seluas 51.6 hektar dirancang pada 2027, dengan pelaksanaan setiap fasa dipantau teliti supaya keseluruhan kawasan 125 hektar dapat dibangunkan secara berperingkat.

Sebagai persediaan penanaman pertama, FELCRA merancang membawa masuk benih padi sah varieti MR297 dari Pusat Benih Padi FELCRA di Seberang Perak untuk digunakan di Fasa 1.

Mohamed Ismi berkata, FELCRA Berhad turut mendapat kelulusan secara sekali sahaja daripada Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pada 23 Oktober lalu bagi penghantaran benih berkenaan ke Sri Aman.

“FELCRA juga akan memastikan dokumentasi varieti, keperluan pensijilan dan pematuhan kepada ketetapan pihak berkuasa pertanian dipenuhi,” katanya.

Mengulas perbincangan pengurusan FELCRA dengan Stephen Rundi pada 13 Oktober lalu, beliau berkata beberapa perkara dibangkitkan bagi memperkemas pelaksanaan projek, termasuk penyelarasan penerima manfaat, kelayakan subsidi dan insentif padi, serta kadar caj kemasukan tanah.

Beliau berkata, pengesahan penama melalui kerajaan negeri dan Jabatan Pertanian Sarawak amat penting supaya pemilihan dibuat berdasarkan data rasmi serta kriteria kelayakan. 

FELCRA turut berharap keperluan pesawah tempatan, termasuk golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU), dipertimbangkan sewajarnya.

FELCRA juga memohon projek itu dipertimbangkan bagi skim bantuan dan insentif Persekutuan, termasuk Subsidi Benih Padi Sah, Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan, Insentif Pengeluaran Padi dan Subsidi Harga Padi, tertakluk kepada dasar serta kelayakan.

Mengenai caj kemasukan tanah, Mohamed Ismi mengucapkan terima kasih kepada Stephen Rundi yang bersetuju mengurangkan kadar daripada RM50 seekar sebulan kepada RM200 sehektar setahun, bersamaan kira-kira RM6.75 seekar sebulan. FELCRA turut memohon tempoh bertenang (grace period) selama lima tahun bagi memastikan projek berjalan lancar terlebih dahulu.

Beliau juga berharap mendapat sokongan M-FICORD bagi proses pengilangan, pemasaran dan pengedaran hasil padi melalui penglibatan Lembaga Padi dan Beras Sarawak.

Bagi mencapai skala ekonomi optimum, FELCRA memohon kelulusan kerajaan negeri menyediakan tambahan tanah kerajaan yang berdekatan dengan kawasan pembangunan sedia ada di Stumbin, selain sokongan menyediakan kilang pemprosesan benih padi, kemudahan simpanan sejuk serta sistem pemasaran dan pengedaran yang cekap.

Mohamed Ismi berkata, FELCRA Berhad komited memastikan setiap peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara bertanggungjawab, berhemah dan berorientasikan hasil, dengan keutamaan memulakan penanaman Fasa 1 mengikut sasaran, melaksanakan Fasa 2 dengan lancar dan memuktamadkan perancangan Fasa 3.

Beliau berkata, FELCRA akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak, M-FICORD, KKDW, KPKM dan semua agensi teknikal dalam aspek infrastruktur, pengurusan air, pengeluaran benih, pengendalian tanaman serta pemantauan prestasi.

“Dengan perancangan teliti dan komitmen bersama, projek ini berpotensi menjadi salah satu model pembangunan pertanian bersepadu yang menyokong pengeluaran benih padi sah, memperkukuh keterjaminan makanan dan membawa manfaat sosioekonomi yang berpanjangan kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Mohamed Ismi turut merakamkan penghargaan kepada Stephen Rundi atas kesudian melawat projek itu, serta kepada kerajaan Sarawak, M-FICORD, KKDW, KPKM, Jabatan Pertanian Sarawak dan seluruh pasukan FELCRA yang terus berganding bahu menjayakan projek berkenaan.

Oleh Adi Safarman