Ceroboh laluan Gunung Kinabalu, malim gunung turut berdepan risiko cedera

Facebook
WhatsApp
GUNUNG KINABALU menjadi tumpuan pendaki tempatan dan antarabangsa, namun pencerobohan laluan larangan boleh mengundang bahaya serta meningkatkan risiko operasi mencari dan menyelamat (SAR).

KOTA KINABALU, 1 November: Kawalan keselamatan di Taman Kinabalu disahkan mencukupi, namun tindakan individu menceroboh laluan larangan di Gunung Kinabalu bukan sahaja boleh membahayakan malim gunung, malah meningkatkan beban operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu Danson Bulangai berkata kawasan larangan sebenarnya telah ditanda dengan cat merah di sepanjang sempadan taman serta dilengkapi papan tanda amaran dan peruntukan enakmen di setiap stesen kecil bagi menghalang pencerobohan.

MALIM GUNUNG memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pendaki Gunung Kinabalu, termasuk mematuhi prosedur pendakian dan penggunaan tali panduan laluan.

“Tindakan menggunakan laluan tidak dibenarkan bukan sahaja berisiko kepada malim tetapi juga berbahaya kepada individu terlibat seperti risiko kecederaan fizikal, terdedah kepada cuaca ekstrem dan mabuk gunung.

“Selain itu malim gunung perlu mengimbangi tugas SAR dengan tanggungjawab hakiki mengiringi pendaki berdaftar, tetapi jika ada kejadian memerlukan SAR, kami sentiasa bersedia memberi kerjasama,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keluasan Taman Kinabalu yang mencecah kira-kira 754 kilometer persegi menjadikan pemantauan menyeluruh di setiap laluan berpotensi sebagai cabaran besar kepada pihak berkuasa dan malim gunung. 

Danson berkata insiden pencerobohan memberi persepsi salah seolah-olah kawalan malim gunung longgar, sedangkan sebanyak 241 malim berdaftar persatuan itu mencukupi untuk menampung keperluan pendakian rasmi.

Menurutnya, piawaian pendakian berdaftar menetapkan nisbah seorang malim bagi setiap lima pendaki, sebelum ditingkatkan kepada dua malim bagi nisbah sama sekiranya membabitkan peserta berusia bawah 16 tahun.

“Jumlah malim gunung juga mengambil kira beberapa faktor lain termasuk permintaan terhadap khidmat malim khas,” katanya yang telah berkhidmat di sektor berkenaan sejak 2005.

Beliau berkata malim gunung turut memberi tumpuan rapi terhadap penggunaan tali panduan laluan dengan jarak standard tiga meter dari pendaki bagi mengelakkan kemalangan di altitud tinggi.

Bagaimanapun, jarak itu dipendekkan kepada bawah satu meter ketika kabus tebal bagi mengelakkan pendaki tersasar daripada laluan sebenar. 

“Keadaan menjadi lebih mencabar apabila garisan kuarza berwarna putih pada permukaan granit menyerupai tali panduan, sekali gus berpotensi mengelirukan pendaki ketika jarak penglihatan terhad,” katanya.

Beliau berkata persatuan kini giat memperkukuh kemahiran kecemasan menerusi latihan bersama Taman-Taman Sabah (TTS) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), khususnya berkaitan teknik tali menyelamat.

Program kemahiran menyelamat tersebut dirancang diperluas kepada keseluruhan anggota persatuan secara berperingkat pada masa depan.

Persatuan turut mengalu-alukan penggunaan radio komunikasi (walkie-talkie) yang bakal diwajibkan kepada setiap malim sebaik sistem pengulang isyarat di substesen Panalaban siap dibaiki.

Langkah pengukuhan keselamatan itu susulan insiden penceroboh warga asing sebelum ini, termasuk pendaki warga Croatia Mauro Persic, 46, yang didenda maksimum RM25,000 selepas terjatuh dan cedera di rusuk serta kaki ketika melalui laluan haram dalam kejadian September lalu. – Bernama