AMERIKA SYARIKAT: Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 235.2 juta.
Ini berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan 43.8 juta kes.
Ini diikuti India dengan lebih 33.8 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.4 juta kes.
United Kingdom, Rusia, Perancis dan Turki antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.
Argentina catat lebih 5 juta kes dan diikuti Colombia serta Sepanyol yang semakin hampir kepada jumlah tersebut.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan menghampiri 4.2 juta kes.
Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.6 juta, Malaysia lebih 2.2 juta kes, Thailand dengan 1.6 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 106,000 kes.
Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 4.806 juta.
Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 702,000 kes.
Ini diikuti Brazil dengan lebih 597,000 kes, India lebih 448,000 kes, Mexico lebih 278,000 kes, sementara Rusia mencatat lebih 207,000 kematian.
United Kingdom, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.
Negara yang merekodkan angka korban melebihi 93,000 kes adalah Jerman manakala Sepanyol catat lebih 86,000 kes.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 142,000 kes korban.
Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 38,000 diikuti Malaysia dengan 26,000 kes, manakala Thailand dengan lebih 17,000 angka korban.-AFP