BAU, 1 November: Sebanyak 15 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di daerah ini, semalam.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, sebanyak 130 kenderaan dan 145 individu diperiksa dalam operasi yang melibatkan 26 pegawai serta anggota daripada pelbagai bahagian dan unit.
Operasi diketuai Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman dengan pemeriksaan kenderaan dan penguatkuasaan trafik dijalankan di Jalan Suba Buan serta Jalan Bau–Kuching.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah lapan kesalahan pengubahsuaian ekzos, satu kesalahan lampu brek tidak berfungsi, tiga kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan tiga kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan,” menurut kenyataan itu.

Selain penguatkuasaan trafik, operasi turut memberi tumpuan kepada rondaan bagi mencegah kecurian kenderaan dan kabel telekomunikasi.
Pemantauan keselamatan turut dilaksanakan di kawasan Bau dan Siniawan, selain rondaan pencegahan jenayah di Serikin.
Menurut kenyataan itu, IPD Bau akan terus mempergiat rondaan, pemantauan dan operasi bersepadu bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara.
Orang ramai turut digesa mematuhi undang-undang jalan raya serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada polis.





