KUCHING, 1 November: Bangunan Saujana akan diroboh bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan Jalan Masjid yang turut merangkumi stesen pusat Transit Aliran Automasi (ART).
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pembangunan bangunan moden di kawasan itu akan diperluaskan sehingga ke Brooke Dockyard.
“Fasa seterusnya akan melibatkan Bangunan Saujana ini, bangunan lama ini akan dirobohkan.
“Kawasan sekitarnya akan dibangunkan dengan bangunan moden sehingga ke Brooke Dockyard dan di hadapannya akan terdapat stesen pusat ART kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pembesaran Bangunan Kuil Sikh Gurdwara Sahib Kuching di Jalan Masjid, hari ini.
Tambahnya, rancangan mengubah kawasan berkenaan sudah dibincangkan sekitar 2010 dan 2014, dengan pembangunan itu mencerminkan perubahan bandar raya Kuching.

Beliau turut mengimbas kewujudan sebuah stesen kereta api zaman Rajah tidak jauh dari kawasan tersebut.
“Kini, kita mahu menghidupkannya semula, tetapi melalui teknologi moden,” ujarnya.
Untuk rekod, kompleks tempat letak kereta Saujana siap dibina pada 1 Februari 1991, menjadikannya berusia lebih 35 tahun.
Kompleks itu turut menempatkan medan selera dan lot kedai, manakala kawasan sekitarnya menjadi tumpuan pengguna pengangkutan awam.
Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 merekodkan gerai makan di Bangunan Saujana telah berhenti beroperasi serta kerosakan struktur siling ketika pemeriksaan pada 13 Jun 2024.
Terminal Bas Saujana pula dilaporkan ditutup pada 2025 bagi pelaksanaan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), dengan operasi bas dipindahkan ke hab sementara di kawasan Pasar Terbuka Kuching.
Oleh Masrin Affirah





