BINTULU, 31 Oktober: Mengenali haiwan, meneroka dunia akuatik dan melihat sendiri hasil pembelajaran pelajar antara pengalaman yang ditawarkan menerusi program Hari Riang Ria 4.0 sempena Pesta Konvokesyen (Peskon) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) 2026.
Program anjuran Kelab Sains Perikanan dan Haiwan (KESPH) itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok di kawasan parkir Dewan Sri Kenyalang, UPMS, dengan pelbagai aktiviti berkonsepkan pendidikan dan rekreasi yang terbuka kepada orang ramai.

Pengarah program, Alya Abdul Hattar, 19, yang juga pelajar UPMS berkata, penganjuran program itu bertujuan memeriahkan lagi suasana Peskon, selain mengambil peluang memperkenalkan aktiviti kelab kepada masyarakat.
“Pada masa sama, kami mahu memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai aktiviti Kelab Sains Perikanan dan Haiwan (KESPH), termasuk pameran haiwan dan ikan serta aplikasi praktikal daripada apa yang telah kami pelajari sepanjang pengajian di peringkat diploma,” katanya.
Menurut Alya, program itu turut memberi pendedahan kepada orang ramai, khususnya kanak-kanak, mengenai kesihatan dan penjagaan haiwan menerusi pendekatan belajar sambil bermain.
Jelasnya, program berkenaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat, terutama ibu bapa yang ingin membawa anak-anak mengisi masa hujung minggu dengan aktiviti bermanfaat sambil mengenali dunia haiwan.
“Kami mahu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali dunia haiwan, termasuk aspek kesihatan dan penjagaannya melalui konsep bermain sambil belajar,” katanya.
Tambahnya, program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam menyediakan pelbagai pengisian yang membolehkan pengunjung mengenali serta mempelajari lebih lanjut mengenai dunia haiwan.
Antara aktiviti yang disediakan ialah zoo mini yang memberi peluang kepada pengunjung mendekati dan memberi makanan kepada haiwan, selain meneroka dunia hidupan akuatik menerusi pameran ikan.
Pengunjung turut berpeluang meneroka dunia mikroskopik menggunakan mikroskop, menghasilkan aksesori menerusi aktiviti seni dan kraf serta mendapatkan pendedahan mengenai haiwan peliharaan.
Menambah kelainan kepada pengisian program, beberapa hasil kerja akademik pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan turut dipamerkan, termasuk model tiga dimensi (3D) rumah sembelih.
Pameran itu memperlihatkan aplikasi pengetahuan yang diperoleh pelajar sepanjang pengajian, selain memberi peluang kepada pengunjung melihat hasil pembelajaran mereka dalam bentuk model fizikal.
Kepelbagaian pengisian tersebut bukan sahaja menyediakan pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah kepada kanak-kanak, malah memberi ruang kepada masyarakat mengenali bidang sains perikanan dan kesihatan haiwan dengan lebih dekat.
Hari Riang Ria 4.0 merupakan antara pengisian Peskon UPMS 2026 yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 3 November ini.
Oleh Faizah




