Wong Soon Koh tekankan pendidikan sebagai asas masa depan Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Wong Soon Koh menyampaikan cenderahati kepada salah seorang guru bersara pada pada sambutan Hari Guru dan Majlis Penghargaan Persaraan anjuran Kesatuan Guru Sarawak di sini, hari ini.

SIBU, 31 Oktober: Pendidikan dan pembangunan modal insan perlu terus diberi keutamaan dalam usaha membentuk masa depan Sarawak, dengan guru memainkan peranan penting melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, kekuatan sesebuah negeri bukan hanya terletak pada sumber semula jadi, infrastruktur dan pembangunan ekonominya, sebaliknya turut bergantung kepada pengetahuan, kemahiran, kreativiti serta sahsiah rakyatnya.

Menurutnya, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), pembuatan termaju, pertanian moden serta tenaga boleh diperbaharui bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

“Siapakah yang akan mempersiapkan golongan muda ini untuk menghadapi masa depan? Jawapannya ialah guru.

“Untuk memastikan Sarawak menjadi masyarakat berpendapatan tinggi, kita perlu terus melabur dalam pendidikan dan membangunkan generasi baharu yang berkemampuan serta berpengetahuan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Guru dan Majlis Penghargaan Persaraan anjuran Kesatuan Guru Sarawak di sini, hari ini.

Soon Koh berkata, sumbangan guru tidak seharusnya dinilai berdasarkan ilmu yang disampaikan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha membentuk sahsiah, keyakinan diri dan masa depan anak didik.

Katanya, pengaruh seseorang guru mungkin hanya dapat dilihat selepas bertahun-tahun apabila bekas pelajarnya berjaya dalam kehidupan dan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.

Beliau turut mengiktiraf pengorbanan guru yang berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman, khususnya mereka yang berdepan cabaran dari segi pengangkutan, kemudahan serta sumber pengajaran yang terhad.

Sehubungan itu, katanya, kebajikan guru perlu terus diberi perhatian menerusi penambahbaikan kemudahan sekolah dan penyediaan persekitaran pengajaran serta pembelajaran yang lebih kondusif.

“Kita tidak boleh mengharapkan guru memikul tanggungjawab yang begitu besar tanpa memberikan sokongan sewajarnya.

“Menjaga kebajikan guru bermakna kita menjaga masa depan anak-anak, manakala melabur dalam pendidikan bermakna kita melabur untuk masa depan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan persaraan bukan pengakhiran kepada sumbangan seseorang guru, sebaliknya permulaan kepada fasa kehidupan baharu selepas bertahun-tahun menabur bakti dalam bidang pendidikan.

Beliau menggalakkan guru yang bersara supaya terus menjaga kesihatan, meluangkan masa bersama keluarga, meneroka minat baharu serta menimba ilmu mengikut kemampuan masing-masing.

Katanya, pengalaman dan kebijaksanaan yang dimiliki guru berpengalaman juga boleh dimanfaatkan untuk membantu pelajar, membimbing guru muda atau menyumbang kepada aktiviti kemasyarakatan sekiranya mereka berminat.

Oleh Tarani Lanting