KOTA KINABALU, 31 Oktober: Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat mula beratur di Padang Merdeka di sini seawal 5.30 pagi untuk menghadiri Kenduri Rakyat meraikan pasangan selebriti Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kehadiran lebih 20,000 pengunjung menjadikan padang di tengah-tengah bandar raya itu bertukar menjadi lautan manusia dengan kehadiran sebahagian pengunjung yang mengenakan busana tradisional pelbagai etnik menyerlahkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat di Sabah.
Antara yang mencuri perhatian ialah pengunjung berbusana tradisional etnik Bajau Semporna, Bajau Sama, Kadazan, Dusun Tindal, Dusun Kujau, Murut, Bugis, Bidayuh dan Lundayeh yang memperlihatkan keindahan warisan budaya masing-masing.
Kepelbagaian warna, corak dan reka bentuk busana tradisional itu bukan sahaja menambah seri majlis, malah menjadikan Padang Merdeka seolah-olah pentas peragaan kebudayaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Pengunjung Cynthia D Baga berkata keunikan Kenduri Rakyat itu bukan hanya terletak pada kehadiran ribuan pengunjung, malah kerana majlis itu juga menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian budaya dan warisan etnik masyarakat Sabah menerusi busana tradisional.
“Kita dapat melihat pelbagai pakaian tradisional etnik Sabah dalam satu majlis. Inilah keunikan Sabah, walaupun berbeza bangsa dan budaya, kita tetap dapat berkumpul dan meraikan sesuatu majlis bersama-sama,” katanya kepada Bernama.
Seorang lagi pengunjung, Esther Glorie Leow menyifatkan Kenduri Rakyat itu sebagai acara istimewa kerana menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang untuk bersama-sama meraikan pasangan tersebut.
“Amat seronok melihat begitu ramai berkumpul untuk meraikan sambutan istimewa ini. Lebih bermakna apabila melihat ramai dengan bangga mengenakan pakaian tradisional mereka, sekali gus menampilkan keindahan kepelbagaian budaya yang kita miliki di Sabah,” katanya.
Bella, 32, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah dan Syed Saddiq, 33, tiba di pekarangan Padang Merdeka pada kira-kira 1 tengah hari. Pasangan itu selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.- Bernama




