SANTUBONG, 31 Oktober: Deruman enjin motosikal peserta tempatan dan antarabangsa memeriahkan hari keempat Cat City International Bike Week (CCIBW) 2026 menerusi konvoi mega ‘Rolling Thunder’ ke Kampung Santubong, hari ini.
Konvoi yang dijangka disertai antara 100 hingga 200 penunggang motosikal itu menghimpunkan komuniti permotoran dari Sarawak, Semenanjung Malaysia serta luar negara, termasuk Indonesia, Brunei dan Australia.
Pengerusi CCIBW 2026, Abang Nor Nasaruddin Abang Norzuki berkata, penganjuran konvoi berkenaan bukan sekadar aktiviti permotoran, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara peserta dengan masyarakat setempat.
“Objektif utama kita adalah untuk mengadakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), bersantai bersama penduduk kampung serta memperkenalkan sukan permotoran kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, aspek keselamatan turut diberikan perhatian menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain penyediaan marshal bertauliah untuk mengiringi konvoi dan memberikan taklimat keselamatan kepada peserta.
Sementara itu, peserta dari Australia, Danny, berkata pengalaman menyeronokkan ketika menyertai program berkenaan tahun lalu mendorongnya kembali ke Sarawak bagi menyertai CCIBW 2026.
“Saya sangat menikmati pengalaman tahun lalu dan sebab itulah saya kembali. Apa yang paling saya nantikan adalah keseronokan menunggang bersama ramai peserta, khususnya komuniti motosikal dari Sarawak,” katanya.
Bagi peserta dari Pontianak, Indonesia, Ahmad Alwi Ramadan yang mewakili kelab YZCI, penyertaan kali ini cukup bermakna kerana merupakan kunjungan pertamanya ke Kuching.

“Saya sangat gembira dan bangga dapat datang ke Kuching buat pertama kali. Saya amat menghormati sikap masyarakat di sini yang prihatin antara satu sama lain.
“Pengurusan dan pihak polis juga sangat baik. Terima kasih Malaysia, memang terbaik dan saya berharap perkara ini menjadi contoh kepada negara lain,” katanya.
Dalam pada itu, seorang wakil kelab Jynx Motorsport menyifatkan konvoi berkenaan sebagai peluang terbaik untuk menjalin persahabatan baharu serta bertukar-tukar pengetahuan mengenai motosikal dengan peserta dari luar negara.
“Kita dapat menikmati pengalaman menunggang bersama, mencari kenalan baharu dan bertukar pengetahuan mengenai motosikal. Paling penting, hubungan persaudaraan antara komuniti penunggang dapat diperkukuh,” katanya.

Penyertaan penunggang wanita turut mencuri perhatian apabila kumpulan Queen Rider Seven Malaysia dari Kuala Lumpur hadir menyertai konvoi berkenaan meskipun berdepan cuaca hujan.
Wakil kumpulan itu, Nora Ayu Ismail, berkata wanita juga mampu melibatkan diri secara aktif dalam bidang permotoran, selain mengingatkan semua penunggang supaya memiliki lesen memandu yang sah dan sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya.
Penganjuran ‘Rolling Thunder’ bukan sahaja memperkukuh hubungan persaudaraan dalam kalangan komuniti permotoran merentasi sempadan, malah menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan masyarakat dan destinasi pelancongan Sarawak kepada peserta antarabangsa.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Oleh Norman B





