Laksa Sarawak, Teh C Peng jadi inspirasi wangian

Facebook
WhatsApp
ZUL Ibrahim ketika berkongsi bersama Utusan Sarawak, perjalanan menghasilkan wangian berinspirasikan Laksa Sarawak dan Teh C Peng. Foto Ryza Kamil

KUCHING, 31 Oktober: Keunikan aroma Laksa Sarawak dan Teh C Peng mendorong usahawan tempatan, Zul Ibrahim, meneroka penghasilan wangian berinspirasikan makanan dan minuman tempatan menerusi proses penyelidikan serta percubaan berulang kali bagi mendapatkan aroma yang sesuai.

Berasal dari Kuching, Zul berkata, idea menghasilkan wangian dengan karakter berbeza itu tercetus daripada pengalamannya berurusan dengan pelbagai jenama minyak wangi di pasaran, termasuk jenama pereka, jenama khusus atau niche serta jenama tempatan.

Menurutnya, pengalaman menjual minyak wangi dalam kuantiti kecil atau decant turut membuka ruang untuk beliau meneroka potensi menghasilkan produk sendiri yang mempunyai identiti tersendiri.

“Setiap orang mempunyai pengikut masing-masing. Kami terfikir, mengapa tidak menghasilkan sesuatu yang berbeza dan unik?” katanya ketika berkongsi pengalamannya bersama Utusan Sarawak.

Berdasarkan pemerhatian terhadap pelbagai wangian di pasaran, Zul mula meneroka penggunaan aroma herba dan rempah yang lazimnya dikaitkan dengan makanan sebelum memilih Laksa Sarawak sebagai salah satu inspirasi produknya.

Beliau berkata, proses menghasilkan wangian berkenaan memerlukan penelitian terhadap pelbagai aroma yang membentuk karakter hidangan itu, termasuk bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan kuahnya.

Bagi memahami aroma tersebut, beliau mencuba Laksa Sarawak di beberapa premis makanan sambil meneliti bau yang terhasil daripada gabungan bahan seperti halia, buah pelaga, serai, limau nipis, bawang merah, bawang putih dan cili.

Menurutnya, cabaran utama bukan sekadar mendapatkan aroma yang menyerupai hidangan berkenaan, tetapi memastikan gabungan wangian itu seimbang dan sesuai digunakan.

“Untuk menghasilkan wangian Laksa Sarawak, kami perlu mencuba berulang kali sehingga memperoleh gabungan aroma yang sesuai,” katanya.

Zul berkata, percubaan bagi menghasilkan wangian Laksa Sarawak dilakukan kira-kira 15 kali, manakala pembangunan produk secara keseluruhan mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan.

Beliau menjelaskan bahawa aroma bahan makanan boleh berubah mengikut cara penyediaannya, sekali gus memerlukan penelitian untuk mengenal pasti ciri wangian yang ingin diketengahkan.

Sebagai contoh, aroma bawang dalam masakan berubah apabila ditumis sehingga naik bau. Perubahan seperti itu turut menjadi pertimbangan dalam usaha menghasilkan wangian yang mencerminkan karakter hidangan berkenaan.

Bagaimanapun, Zul tidak mahu wangian itu terlalu kuat dengan aroma herba dan rempah sehingga menyerupai makanan secara berlebihan.

Sehubungan itu, nota kayu cendana dan nilam turut digunakan bagi memberikan keseimbangan serta kedalaman kepada wangian tersebut.

Berbanding Laksa Sarawak yang mempunyai gabungan aroma lebih kompleks, penghasilan wangian Teh C Peng pula lebih mudah diterokai menerusi gabungan nota pandan, susu, gula apong dan vanila.

Menurut Zul, setiap bahan memainkan peranan tersendiri dalam pembentukan aroma akhir, manakala proses percubaan membantu menentukan gabungan yang paling sesuai.

Beliau berkata, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut melibatkan penelitian terhadap formulasi serta kesesuaian bahan yang digunakan sebelum produk dibawa ke pasaran.

WANGIAN berinspirasikan Laksa Sarawak dan Teh C Peng yang dihasilkan Zul Ibrahim. Foto Ryza Kamil

Bagi Zul, penghasilan kedua-dua wangian itu merupakan satu percubaan untuk meneroka ruang berbeza dalam industri minyak wangi, khususnya melalui inspirasi makanan dan minuman tempatan yang mempunyai karakter tersendiri.

Namun, perjalanan beliau dalam bidang keusahawanan bermula jauh sebelum menghasilkan wangian sendiri.

Zul berkata, beliau mula berniaga sejak kecil dengan menjual kuih bagi membantu menambah pendapatan keluarga, selain membina keyakinan diri ketika berhadapan dengan pelanggan.

Pengalaman itu diteruskan ketika beliau melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam apabila menggunakan kemahiran menggunting rambut untuk menjana pendapatan tambahan.

Beliau turut pernah membantu menjual produk rambut dengan menerima komisen, sekali gus memberinya pendedahan tentang cara memulakan perniagaan tanpa memerlukan modal yang besar.

Bagaimanapun, perjalanan perniagaannya turut berdepan cabaran, khususnya ketika pandemik COVID-19 yang menjejaskan operasi dan memaksanya mencari jalan untuk meneruskan perniagaan serta membayar gaji pekerja.

Menurutnya, pengalaman tersebut mengajarnya untuk terus menyesuaikan pendekatan perniagaan dan meneroka peluang baharu bagi mengembangkan produk yang ditawarkan.

Dalam pada itu, Zul mengakui bahawa penerimaan terhadap sesuatu wangian bergantung pada cita rasa pengguna yang berbeza-beza.

Katanya, tidak semua orang menyukai aroma yang sama, justeru penerangan mengenai karakter wangian penting bagi membantu pelanggan memahami produk yang ditawarkan.

“Penolakan sentiasa membawa kita ke arah yang berbeza. Ada wangian yang mungkin saya suka, tetapi orang lain belum tentu menyukainya,” katanya.

Beliau berkata, ketika memperkenalkan produk kepada pelancong, beliau turut menerangkan nota wangian dengan menggunakan aroma yang lebih mudah difahami, seperti herba, rempah, karamel, susu dan vanila, mengikut karakter produk berkenaan.

Pendekatan itu membolehkan pelanggan memahami wangian yang ditawarkan tanpa perlu mengenali makanan tempatan yang menjadi sumber inspirasinya terlebih dahulu.

Selain mengembangkan perniagaan, Zul melihat wangian berinspirasikan Laksa Sarawak dan Teh C Peng berpotensi menjadi pilihan cenderamata pelancongan yang berbeza daripada produk konvensional.

Menurutnya, makanan dan minuman tempatan mempunyai kaitan rapat dengan pengalaman pengunjung di Sarawak, sekali gus membuka ruang untuk elemen tersebut diterjemahkan kepada produk yang boleh dibawa pulang sebagai buah tangan.

Beliau berharap penerokaan wangian berasaskan inspirasi tempatan dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk menghasilkan produk kreatif yang mempunyai identiti tersendiri.

Oleh Adele Rissa