AirBorneo buka jualan tiket penerbangan terus Kuching-Jakarta, tambang bermula RM399

Facebook
WhatsApp
JUALAN tiket penerbangan terus Kuching-Jakarta oleh AirBorneo dibuka hari ini dengan tambang sehala bermula RM399. Foto AirBorneo

KUCHING, 31 Oktober: AirBorneo membuka jualan tiket bagi laluan penerbangan terus baharu antara Kuching dan Jakarta bermula hari ini, dengan tambang sehala termasuk semua caj ditawarkan bermula RM399 bagi kelas Ekonomi dan RM888 bagi kelas Perniagaan.

Perkhidmatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta itu dijadualkan beroperasi tiga kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad, dengan penerbangan sulung bermula 13 November ini.

Menurut AirBorneo, penerbangan MY396 akan berlepas dari Kuching pada 3.10 petang dan tiba di Jakarta pada 4.00 petang waktu tempatan, manakala penerbangan pulang MY397 akan berlepas dari Jakarta pada 4.55 petang dan tiba di Kuching jam 7.45 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, pembukaan laluan terus itu merupakan pencapaian penting dalam usaha memperluas rangkaian penerbangan serantau syarikat penerbangan milik Sarawak itu ke destinasi utama ASEAN.

Katanya, hubungan penerbangan terus antara Kuching dan Jakarta bukan sahaja memudahkan perjalanan pemimpin perniagaan, pelabur serta delegasi rasmi antara kedua-dua pasaran, malah memberi kemudahan kepada pesakit dan keluarga yang mendapatkan rawatan pakar di Sarawak.

“Laluan berkenaan turut membuka peluang kepada pelancong Indonesia untuk menerokai keindahan hutan hujan, kebudayaan dan festival di Borneo, selain memudahkan rakyat Borneo berkunjung ke Jakarta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, AirBorneo turut menyelaraskan kekerapan penerbangan Kuching-Singapura kepada empat kali seminggu bermula 23 Oktober lalu bagi menyokong pengenalan laluan baharu ke Jakarta.

Penerbangan ke Singapura kini beroperasi setiap Selasa, Rabu, Khamis dan Sabtu. Penerbangan MY0385 berlepas dari Kuching pada 7.35 malam, manakala penerbangan pulang MY0386 berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada 10.00 malam.

Sementara itu, perkhidmatan laluan Kuching-Kuala Lumpur yang beroperasi dua kali sehari diteruskan seperti biasa mengikut jadual ditetapkan.

AirBorneo memaklumkan bahawa penumpang yang terjejas akibat perubahan jadual penerbangan ke Singapura telah dihubungi secara langsung dan ditawarkan pilihan untuk menjadualkan semula perjalanan.

Penumpang boleh mendapatkan tiket penerbangan ke Jakarta menerusi aplikasi mudah alih rasmi AirBorneo, laman web www.airborneo.com atau pejabat jualan tiket syarikat penerbangan itu di lapangan terbang.

Jualan tiket dibuka mulai 9.00 pagi hari ini.

45 kawasan catat sederhana setakat pagi ini

KUALA LUMPUR, 31 Oktober: Sebanyak 45 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tahap sederhana setakat pagi ini. Menurut