5,917 pelajar di Sarikei terima bantuan beg sekolah

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH.... Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama warga sekolah selepas menyerahkan beg sekolah. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

SARIKEI, 31 Oktober: Seramai 5,917 pelajar daripada 46 sekolah di kawasan Sarikei menerima sumbangan beg sekolah menerusi inisiatif Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, bagi meringankan beban kewangan keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk memastikan pelajar mendapat kelengkapan persekolahan yang sewajarnya tanpa mengira latar belakang keluarga.

“Pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan negara. Saya berharap tiada pelajar yang tercicir atau berasa rendah diri hanya kerana kekurangan kelengkapan sekolah.

“Saya berharap bantuan ini dapat memberikan semangat kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pengagihan beg sekolah, semalam.

Beliau berkata, inisiatif yang dimulakan sejak 2019 tersebut diteruskan setiap tahun sebagai komitmen membantu keluarga, khususnya dalam menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak.

Antara sekolah yang menerima sumbangan berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony, Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist Anglo Chinese, SK St. Anne dan SMK Tinggi Sarikei.

Huang berkata, pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan beliau dalam memastikan setiap pelajar memperoleh peluang pembelajaran yang adil dan saksama tanpa mengira kaum.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan berterusan terhadap bidang pendidikan bagi membantu generasi muda membina masa depan yang lebih baik.

Dalam pada itu, Huang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepimpinan dan keprihatinan beliau terhadap kebajikan rakyat serta pembangunan pendidikan di Sarawak.

Katanya, perhatian berterusan kerajaan negeri terhadap bidang pendidikan penting bagi memastikan generasi muda mempunyai peluang untuk mengembangkan potensi masing-masing.

Sementara itu, pihak sekolah yang menerima sumbangan menzahirkan penghargaan kepada Huang atas inisiatif berkenaan yang membantu memenuhi keperluan persekolahan pelajar.

Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan tanggungan ibu bapa, di samping memberikan dorongan kepada pelajar untuk terus menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Oleh Earl Anek

i-CATS kini dikenali sebagai TAHOTECH

KUCHING, 29 Oktober: i-CATS kini dikenali sebagai Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH) susulan pengenalan nama, logo dan identiti