KUCHING, 31 Oktober: Festival Gendang Sarawak (FGS) 2026 menjadi platform menghimpunkan penggiat seni persembahan tradisional dari Sarawak, Brunei dan Indonesia, sekali gus memperkukuh usaha memelihara warisan muzik dan budaya untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Penglibatan peserta daripada pelbagai peringkat umur terserlah menerusi Pertandingan Mega Gendang Melayu Sarawak 2026 yang berlangsung di Tebingan Kuching, dengan empat kategori dipertandingkan sempena edisi ke-12 festival berkenaan.
Dalam kategori Kumpulan Mukun, Warih Melanau dari Sibu muncul juara, manakala Warisan Lenggok Berzaman memenangi kategori Tandak Berpasangan Lelaki Dewasa.

Bagi kategori Seh Gendang Berpasangan Wanita Dewasa, gelaran juara menjadi milik Dua Beranak dari Kampung Sejaie, manakala Pewaris Telaga Air muncul juara kategori Tandak Berpasangan Kanak-kanak.
Penyertaan kumpulan dari luar negara turut memeriahkan pertandingan apabila Medang Serai Mempawah dari Indonesia menerima Anugerah Khas Juri bagi kategori Pakaian dan Solekan Terbaik, manakala Selendang Sutera dari Brunei menduduki tempat keempat dalam kategori Kumpulan Mukun.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, malam tadi.

Bertemakan ‘Nadi Warisan Irama Tradisi’, FGS 2026 berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November ini di Tebingan Kuching, bersempena Pesta Regata Sarawak dan Festival Tebingan Kuching.
Festival itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) serta Pejabat Residen Bahagian Kuching.
Turut hadir Setiausaha Tetap MTCP Datu Morshidi Fredrick dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kebudayaan dan Kesenian) JKKN Mohd Radzi Omar.
Oleh Adele Rissa




