PRS Bukit Begunan tekankan disiplin, kesatuan jentera hadapi pilihan raya

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRS Bukit Begunan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Gua. Foto: Unit Media & Komunikasi DUN Bukit Begunan

SRI AMAN, 30 Oktober: Seluruh jentera Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bukit Begunan diseru supaya mengutamakan kepentingan parti serta mengekalkan disiplin tinggi dalam setiap gerak kerja kempen sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Seruan itu disampaikan oleh Pengerusi PRS Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRS Bukit Begunan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Gua, semalam.

Menurut beliau, setiap ahli dan petugas parti perlu mengetepikan kepentingan peribadi demi memastikan perpaduan dan kesatuan dalam parti terus kukuh. Katanya, kejayaan sesebuah parti bergantung kepada kerjasama erat serta kesediaan seluruh jentera bergerak ke arah matlamat yang sama.

“Disiplin merupakan asas penting dalam melaksanakan gerak kerja kempen yang berkesan. 

“Ia bukan sahaja membantu melancarkan operasi parti, malah mencerminkan imej dan kredibiliti PRS ketika mendekati masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Mong menegaskan bahawa PRS Bukit Begunan bersedia menggalas tanggungjawab untuk menyumbang kemenangan kerusi Bukit Begunan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti agar terus memperkukuh semangat kerjasama, meningkatkan kesediaan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh komitmen bagi memastikan matlamat parti dapat dicapai.

Majlis pelancaran tersebut memperlihatkan kesediaan awal jentera PRS Bukit Begunan dalam menghadapi cabaran pilihan raya, sekali gus memperkukuh keyakinan parti untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Oleh Adi Safarman